Tambakan laut punca banjir di Alai, Kampung Portugis - Utusan Malaysia

Tambakan laut punca banjir di Alai, Kampung Portugis

PENDUDUK, Elizabeth Pereira, 52, menyenduk air yang bertakung di halaman rumahnya apabila kawasan rumah mereka dinaiki air akibat fenomena air pasang besar di Perkampungan Portugis, Ujong Pasir.-UTUSAN/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Projek tambakan laut dan pengecilan saliran air dikenal pasti sebagai punca utama berlakunya banjir ketika air pasang besar di beberapa kawasan di negeri ini.

Dakwa seorang penduduk, Shazzuan Mohd. Saleh, 34, sejak projek tambakan berhampiran Taman Alai Perdana dilaksanakan kira-kira empat bulan lalu, kawasan perumahan itu mula dinaiki air setiap kali air pasang.

Katanya kepada Utusan Malaysia, sudah lebih 20 tahun dia menetap di situ, namun belum pernah lagi berdepan kejadian rumah ditenggelami air.

“Kami sudah biasa dengan kejadian air pasang besar. Sebelum ini semua okay, tetapi sejak projek tambakan bermula sekitar Julai tahun ini, impak negatif projek berkenaan mula kelihatan.

“Apabila paras air naik, lebih 20 buah rumah akan terima musibah. Minggu ini sudah tiga kali rumah saya dinaiki air. Kerugian yang ditanggung juga mencecah ribuan ringgit.

“Kereta, peti ais, perabot dan tilam semuanya musnah. Saya harap sangat pihak berwajib segera selesaikan perkara ini terutamanya yang melibatkan saliran air,” katanya ketika ditemui semalam.

Tinjauan akhbar ini di sekitar Taman Alai Perdana dan Perkampungan Portugis mendapati, air banjir telah mula surut dan penduduk sedang sibuk membersihkan kediaman masing-masing.

Sementara itu, seorang penduduk Kampung Portugis, Elizabeth Pereira, 52, berkata, saliran air sedia ada di kawasan berkenaan memang sudah mengecil disebabkan projek perumahan berhampiran.

Jelasnya, keadaan bertambah parah apabila projek tambakan laut dilakukan di bahagian belakang perkampungan itu yang menyebabkan aliran air terganggu dan tidak dapat mengalir semula ke laut.

“Saya sudah lama tinggal di sini dan kenaikan air hingga paras lutut merupakan kali pertama berlaku. Sebelum ini air ada naik apabila fenomena air pasang, tetapi hanya di bahagian luar rumah sahaja.

“Projek tambakan laut ini perlu dilihat semula daripada aspek pelaksanaannya kerana kenaikan air secara mendadak ini berlaku selepas projek ini bermula. Lebih daripada 30 buah rumah terjejas dengan setiap keluarga menanggung kerugian yang besar,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya