KOTA TINGGI: Selepas tertekan apabila tiada kerja suatu masa dahulu, seorang graduan diploma dalam bidang rekaan grafik nekad untuk tidak lagi menoleh ke belakang dan kini memiliki tiga perniagaan yang diusahakan sendiri.
Mohd. Faiz Zul Fahmi Juraimi, 26, berkata, selepas tamat belajar, dia terus menceburi bidang fotografi dengan mengambil gambar perkahwinan di Singapura dan Indonesia kerana kerjaya dalam bidang dipelajari tidak banyak peluang di tempat tinggalnya di Felda Air Tawar 5 dan sekitar ya.
“Tambahan pula, memang ada belajar fotografi masa di kolej, bila di Indonesia, saya lihat budaya mereka termasuk cara membuat proses percetakan kain baju yang boleh dibuat di rumah sahaja.
“Selepas dua tahun kerja dalam bidang fotografi saya buka perniagaan percetakan pula dan dapat tempahan untuk majlis keramaian namun tidak lama kemudian terhenti akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, di sini.
Kata anak ketiga daripada lima beradik itu, setelah setengah tahun terperangkap dalam situasi PKP dia mula merasa tidak senang duduk dan mula mencari idea untuk menjana pendapatan.
Jelasnya, hasil dari cadangan rakannya dia kini mencuba pula perniagaan dalam bidang minuman dikenali sebagai Lofi Coffee yang dibuka di deretan kedai batu Felda Air Tawar 5.
Tambahnya, dia mengambil masa tiga bulan untuk menghasilkan resepi sendiri sebelum berani menjual kepada orang ramai.
“Saya banyak dapat ilmu dan belajar dari YouTube dan media sosial lain tentang cara membuat kopi ini. Setakat ini belum pernah saya hadiri kursus yang khusus untuk pembuatan kopi.
“Alhamdulillah bermodalkan wang simpanan sebanyak RM2,000 untuk memulakan Lofi Coffee ini saya berjaya meraih pulangan dua kali ganda untuk bulan pertama beroperasi,” katanya.
Dia yang kini masih menjalankan perniagaan fotografi dan percetakan berkata, masanya lebih mudah diatur apabila menjalankan perniagaan air itu yang ditutup pada Sabtu dan Ahad.
Bagaimanapun, katanya, dia turut memasang impian untuk membuka kafe sendiri dalam usaha mengembangkan lagi perniagaannya itu kerana dapat melihat potensi yang ada.
“Setakat ini, saya satu-satunya yang usahakan kopi seperti ini dan saya dapat lihat sambutannya. Air saya hasilkan juga mengambil kira citarasa orang kampung.
“Untuk menambahkan lagi kemahiran dalam pembuatan kopi, saya juga akan mengikuti kursus agar sentiasa dapat tambah baik diri. Namun dalam masa sama masih jalankan perniagaan percetakan dan fotografi kerana semuanya memang minat saya,” katanya. -UTUSAN ONLINE