PUTRAJAYA: Terlalu banyak rantaian perniagaan dengan setiap satunya mengaut keuntungan berlebihan adalah antara punca berlaku peningkatan harga barang ketika ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Sehubungan itu, beliau mengarahkan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee mencari jalan memerangi orang tengah bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk memastikan kenaikan harga tidak disebabkan manipulasi peniaga.
Kata Perdana Menteri, tindakan sedemikian pernah menjadi inisiatif beliau sewaktu diberi tanggungjawab di Kementerian Pertanian dan Industri Makanan menerusi program ‘Jihad Memerangi Orang Tengah’.
“Saya lihat tadi (semalam) kenaikan harga juga berpunca kerana terlalu banyak rantaian untuk mengaut keuntungan. Sebagai contoh, harga ayam daripada penternak ke pasar ini, setiap rantaian ada kos hingga menyebabkan bila sampai ke sini harga dah pun jadi RM8.30.
“Kita pun tak boleh salahkan peniaga di pasar kerana rantaian itu terlampau banyak sebab itu saya beritahu Ronald untuk lihat semula, perangi orang tengah yang pernah saya lakukan dahulu supaya kita boleh potong rantaian itu bagi kurangkan harga.
“Saya faham rakyat marah, memang betul. Saya tak salahkan rakyat kerana harga begitu tinggi tetapi kita akan lakukan sesuatu,” kata beliau selepas melakukan tinjauan harga barang di MyFarm Outlet Kasih Putrajaya semalam.
Sementara itu, berhubung aduan kenaikan harga ais dan roti, Ismail Sabri berkata, harga ais tidak sepatutnya meningkat kerana tarif air dan elektrik masih kekal jadi tiada alasan bagi pengusaha ais menaikkan harga.
Bagi harga roti pula, Ismail Sabri mengakui kemungkinan berlaku kenaikan harga gandum yang diimport yang memberi kesan kepada peningkatan produk roti.
Bagaimanapun, beliau telah mengarahkan KPDNHEP untuk membuat kajian mendalam tentang peningkatan harga berkenaan.
“Saya dah beritahu KPDNHEP bahawa kita tak mahu dengar alasan. KPDNHEP mesti buat kajian dari segi kenapa kos itu meningkat.
“Sebagai contoh, berapa kos import, berapa harga di luar negara. Semua rantaian itu saya minta KPDNHEP buat kajian terperinci.
“Rakyat kena tahu dan kita juga kena telus tentang perkara ini,” tambah beliau.










