KOTA KINABALU: Diumumkan sebagai salah seorang pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bukan jaminan untuk Debra Penny David,18, memperoleh tempat di universiti awam.
Bekas pelajar Sekolah Menengah (SM) ST Mary, Papar ini amat kecewa kerana gagal melanjutkan pengajian dalam bidang perakaunan di universiti.
“Saya kecewa sebab saya sangat berharap mendapat panggilan kemasukan ke universiti. Saya hampir berputus asa untuk sambung pengajian sebab permohonan mendapatkan biasiswa penuh juga tidak mendapat kelulusan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Buat sementara waktu, dia akan meneruskan pengajian di tingkatan enam sementara menunggu panggilan masuk universiti.
Sekiranya ada panggilan masuk universiti, Debra berkata, dia pasti menerimanya. Itu adalah impiannya setelah menamatkan sesi persekolahan dengan keputusan SPM yang cemerlang.
Namun, jika memang tiada rezeki untuk masuk universiti sekarang, dia akan memberi fokus untuk belajar di tingkatan enam dan mengambil peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
“Kalau memang tiada panggilan universiti, saya akan fokus belajar di tingkatan enam di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Takis, Papar supaya saya tidak ketinggalan dalam pelajaran.
“Saya akan cuba memohon masuk universiti sekali lagi selepas tamat peperiksaan STPM,” katanya.
Ceritanya lagi, panggilan daripada institusi pengajian tinggi swasta memang banyak namun, kekangan kewangan keluarga menyebabkan dia memutuskan untuk menyambung pengajian di tingkatan enam.
Debra antara pelajar di sekolah luar bandar yang berhadapan kekangan mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) kerana terpaksa memanjat bukit sejauh dua kilometer dari rumahnya.
Namun, usaha dan kegigihannya memanjat bukit hampir setiap hari membolehkan Debra memperoleh keputusan 7A 1C dalam peperiksaan SPM 2020.
Kisah adik-beradik Debra yang terpaksa memanjat bukit untuk mengikuti sesi PdPR turut dilaporkan oleh Utusan Malaysia pada 20 Jun lalu.
Sebelum ini, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menyatakan nasib 250,000 pelajar lepasan SPM perlu diperjuangkan.
Daripada 400,000 pelajar mengambil SPM, hanya 40 peratus melanjutkan pengajian ke tingkatan enam dan universiti dan selebihnya 60 peratus atau 250,000 lagi tiada peluang lanjutkan pengajian. -UTUSAN ONLINE