Pasangan kembar antara 23 graduan OKU pendengaran  - Utusan Malaysia

Pasangan kembar antara 23 graduan OKU pendengaran 

YIP Kin Fei (kanan) bersama kembarnya, Kin Heng merupakan antara 23 graduan OKU pendengaran yang berjaya memperoleh Sijil.Kemahiran Penyenggaraan Mekanikal pada Majlis Konvokesyen PSA Ke-22 di Shah Alam, Selangor semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pasangan kembar, Yip Kin Fei dan Yip Kin Heng yang mengalami masalah pendengaran berbangga apabila berjaya menamatkan pengajian masing-masing dan bergelar graduan pada Majlis Konvokesyen Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) ke-22 di sini semalam.

Kin Fei dan Kin Heng merupakan antara 23 graduan orang kurang upaya (OKU) pendengaran menerima Sijil Kemahiran Penyenggaran Mekanikal yang disampaikan oleh Pengarah Perniagaan YTL Communication Sdn. Bhd., Shahirul Amran.

Kin Fei yang mencatat Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.41 ketika sesi temuramah yang dibantu oleh pensyarahnya, Suaiza Khairi berkata, walaupun pada awalnya dia bersama kembarnya menghadapi kesukaran untuk berkomunikasi, namun para pensyarah sangat membantu.

“Saya rasa sangat gembira kerana berjaya tamat pengajian. Kami bersyukur kerana pensyarah banyak membantu untuk memahami pelajaran sepanjang pengajian di PSA,” katanya.

Bagi Kin Heng yang mencatat CGPA 3.53 pula, pengalaman pertama ketika memulakan pengajian di PSA agak memenatkan namun akhirnya berjaya menyesuaikan diri dan terbiasa melakukan kerja berat.

“Mula-mula memang penat, tetapi lama kelamaan kami boleh sesuaikan diri. Bila kami menjalani latihan industri dan bekerja, kami sudah terbiasa dengan melakukan kerja berat dalam masa yang panjang,” ujarnya.

Difahamkan para pensyarah yang mengendalikan program ini diwajibkan untuk mengikuti Kursus Pendedahan Pendidikan Khas dan mampu menguasai bahasa isyarat dengan baik.

Sementara itu, Pengarah PSA, Dr. Mohd. Zahari Ismail berkata, program Sijil Kemahiran Penyelenggaran Mekanikal bertujuan menyediakan program latihan dan kemahiran untuk pelajar berkeperluan khas (masalah pendengaran) bagi mengisi pasaran kerja yang ada dalam industri.

“Para pelajar ini dilatih untuk bekerja secara berpasukan serta boleh berkomunikasi secara berkesan untuk menghadapi cabaran dan persaingan dalam industri dan persekitaran. 

“PSA berharap, lulusan program ini boleh mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran yang mereka pelajari di sini untuk menyesuaikan diri dengan masyarakat dan perubahan teknologi terkini,” katanya pula.

Program Sijil Kemahiran Penyenggaran Mekanikal ditawarkan di PSA bermula pada sesi Jun 2000 dan sehingga kini, hampir 400 graduan OKU pendengaran berjaya dilahirkan. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya