MELAKA: Para peniaga Bazar Kraftangan di Dataran Pahlawan di sini merayu agar kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali dapat membantu menyelesaikan masalah saliran pembentungan yang dihadapi sejak 17 tahun lalu.
Rintih seorang peniaga kepada Utusan Malaysia, Abd. Halim Hamzah, 48, para peniaga mengharapkan inisiatif penyelesaian jangka panjang bagi membolehkan mereka berniaga dengan tenang tanpa bimbang berlakunya banjir air kumbahan.
Katanya, memang ada campur tangan daripada pihak berwajib seperti Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) sebelum ini selepas laporan mengenai masalah itu disiarkan akhbar ini minggu lalu, namun ia masih belum cukup untuk memastikan badan pengurusan bersama (JMB) melaksanakan tanggungjawab dengan sewajarnya.
“Kami merayu agar kerajaan negeri mencari penyelesaian yang konkrit. Jika JMB dan pemilik bangunan boleh diharapkan, masalah ini sudah lama selesai.
“Selepas Utusan Malaysia melaporkan banjir air kumbahan pada minggu lepas, MBMB telah memberi amaran keras kepada JMB. Tetapi JMB kemudiannya mengeluarkan memorandum mengatakan kejadian berlaku disebabkan fenomena air pasang tanpa mengambil kira kegagalan fungsi pam yang sudah uzur.
“Kami sudah tidak tahu kepada siapa lagi untuk mengadu kerana pelbagai cara telah kami ikhtiarkan tetapi masih gagal. Hanya janji-janji manis sahaja yang diberikan,” katanya ketika ditemui.
Terdahulu, Sulaiman menjelaskan, beliau masih menunggu laporan daripada MBMB berhubung isu masalah air kumbahan yang didakwa melimpah dalam pusat beli-belah tersebut.
Katanya, beliau akan meminta MBMB membuat laporan secara terperinci mengenai isu tersebut yang dikatakan gagal diselesaikan sejak 17 tahun yang lalu.
Kelmarin, limpahan air kumbahan di bazar tersebut kembali berulang dan kali ini lebih teruk apabila paras air naik lebih tinggi dan mengeluarkan bau busuk.
Lebih memalukan, kejadian berlaku pada waktu petang ketika pengunjung sedang sibuk membeli-belah.
Sementara itu, seorang peniaga, Kadir Ahmad, 45, memohon agar MBMB mengambil tindakan tegas terhadap JMB bangunan itu.
Jelasnya, kebanyakkan peniaga adalah penyewa lot kedai dan keadaan itu menyukarkan mereka mengambil tindakan undang-undang terhadap JMB.
“Kami hanya menyewa lot kedai daripada MBMB. Sepatutnya pihak majlis yang perlu mengambil tindakan kerana mereka adalah pemilik tapak .
“Pada masa sama kerajaan negeri juga harus main peranan kerana ini melibatkan sektor pelancongan dan imej Melaka. Mereka tahu hal ini tapi bersikap acuh tak acuh,” katanya. -UTUSAN ONLINE










