Keladi bantu suri rumah jana pendapatan - Utusan Malaysia

Keladi bantu suri rumah jana pendapatan

RAHIMAH Rahim menunjukkan koleksi pokok keladi hiasan yang dijadikan induk di tapak semaian rumahnya di Jejawi, Arau, Perlis. - UTUSAN/SYED AZLAN SAYID HIZAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Bermula sekadar minat terhadap pokok hiasan khususnya jenis keladi, akhirnya menjadi rezeki kepada seorang suri rumah apabila mampu menjana pendapatan hasil jualan tumbuhan tersebut.

Rahimah Rahim, 47, berkata, dia mampu menjana pendapatan sekitar RM2,000 sebulan hasil jualan pokok keladi hiasan itu yang mula mendapat perhatian orang ramai sekitar dua tahun kebelakangan ini.

Katanya, sebelum ini, setiap kali terdengar mengenai baka tumbuhan hiasan baharu terutamanya keladi hiasan, dia dan suaminya akan membeli spesies tersebut dan ditanam sebagai induk di halaman rumahnya.

“Sehingga kini, terdapat 60 hingga 70 varieti keladi hiasan yang ditanam di sekeliling rumah saya termasuk jenis albino, mickey mouse, zebra, lemon blush, lemon gecko, red velvet yang popular dalam media sosial.

“Selain itu, terdapat kira-kira 30 jenis pokok hiasan lain seperti pokok puding, bunga raya dan lain-lain lagi yang turut mendapat permintaan ramai peminat tumbuhan hiasan di sekitar negeri ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia kediamannya di Jejawi, di sini hari ini.

Rahimah memberitahu, dia mengambil peluang mengembangkan hobinya itu kepada perniagaan selepas mendapati pokok hiasan keladi tular dalam media sosial.

Malah katanya, kebanyakan spesies keladi yang tular dalam media sosial itu sememangnya telah ada di dalam koleksinya.

“Memandangkan saya telah memiliki sebahagian besar spesies keladi hiasan yang tular itu dan saya menggunakan sepenuhnya peluang yang ada untuk memasarkan tumbuhan tersebut dan ia berjaya membantu menjana pendapatan kami sekeluarga.

“Buat masa ini, saya menjual pokok-pokok keladi dan pokok bunga hiasan di Taman Ular dan Reptilia di Sungai Batu Pahat pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad selain menghantar pokok yang ditempah pelanggan melalui pesanan dari aplikasi WhatsApp,” katanya.

Tambah Rahimah, dia juga sering bertukar-tukar spesies keladi hiasan serta berkongsi maklumat mengenai mengenai penjagaan tumbuhan itu dengan rakan-rakannya.

“Saya tidak pernah mendapat pendidikan formal mengenai cara-cara dan teknik penjagaan pokok bunga hiasan namun disebabkan minat, saya sering bertanya dan bertukar pendapat dengan rakan-rakan yang berkongsi minat sama seperti ancaman serangga perosak dan lain-lain lagi.

“Selain daripada itu, pengalaman dan petua-petua dari orang lama yang berkecimpung dalam bidang ini digunakan sepenuhnya serta saya sering mencuba benda baharu seperti penggunaan jenis-jenis tanah dan pelbagai baja organik bagi mendapat medium yang sesuai untuk pokok keladi hiasan ini,” jelasnya.

Katanya lagi, dia kini sedang menghasilkan varieti baharu keladi hiasan yang dilakukan sendiri menggunakan kaedah pendebungaan silang dan selain mencuba cantuman ubi atau rizom.

Malah, dia juga merancang membuka nurseri atau tapak semaian selain mendapatkan lebih banyak induk pokok hiasan bagi memberi lebih pilihan kepada para pembeli. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya