Jual ayam standard RM10 sekilogram untuk tanggung kos - Utusan Malaysia

Jual ayam standard RM10 sekilogram untuk tanggung kos

PENTERNAK dan pembekal ayam perlu berganding bahu dengan kerajaan dalam menyelesaikan masalah bekalan supaya malasah dihadapi tidak berlarutan khususnya menjelang perayaan bakal tiba.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Peniaga di pasar awam negeri ini masih kekal menjual ayam standard sehingga RM10 sekilogram berbanding RM9.30 sekilogram yang ditetapkan sepanjang pelaksanaan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) berkuat kuasa kelmarin.

Tinjauan di beberapa pasar awam di daerah Barat Daya dan Timur Laut di sini semalam mendapati berlaku ketidakseragaman harga yang dipamerkan peniaga biarpun skim harga itu sudah dilaksanakan dalam tempoh 24 jam.

Menerusi tinjauan tersebut, hanya segelintir peniaga akur dengan penetapan harga ayam standard RM9.30 sekilogram termasuk mempamerkan tulisan harga secara terang di papan tanda premis.

Seorang peniaga ayam di pasar awam daerah Barat Daya yang hanya mahu dikenali sebagai Fauzan, 44, berkata, dia terpaksa akur dengan arahan penetapan skim harga kawalan yang bersifat sementara itu.

Menurutnya, ini bagi mengelakkan dikenakan kompaun oleh pihak penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Rugi tetap rugi kerana kami terpaksa berdepan dengan kenaikan kos, lebih-lebih lagi kos pembelian plastik, gaji harian pekerja, bil air dan elektrik serta sewa tapak.

“Namun, kami terpaksa akur memadangkan skim kawalan ini hanya berlaku dalam tempoh sementara sehingga 31 Disember ini sahaja. Harap tidak dilaksanakan secara berterusan sebab memang kami boleh ‘bungkus’ (rugi)

“Jika dikira, kami hanya untung 50 sen untuk sekilogram ayam standard dan RM1 sekiranya berat ayam cecah dua kilogram. Itupun bukan hari-hari kami terima berat ayam sebegitu daripada pemborong,” katanya di sini semalam.

Sementara itu, seorang lagi peniaga ayam di pasar yang juga mahu dikenali sebagai Ilyana, 43, memberitahu, dia memilih untuk kekal menjual ayam standard pada harga RM9.50 sekilogram di pasaran ketika ini.

Akuinya, dia berdepan kerugian sekiranya memasarkan ayam standard pada harga yang jauh lebih rendah iaitu RM9.30 sekilogram memandangkan terpaksa menanggung kos pembelian bahan mentah serta membiayai gaji harian tiga pekerjanya.

“Kami menjadi semakin tersepit dengan isu harga ayam standard. Memang perlu patuh dengan arahan kerajaan tetapi bagaimana dengan nasib kami yang terpaksa mengorek wang tabung setiap hari untuk membiayai kos pembelian ayam daripada pemborong?

“Peniaga terus tanggung rugi sedangkan kami juga mempunyai keluarga yang ramai dan terpaksa berdepan kos sara hidup yang semakin tinggi termasuk kenaikan harga produk makanan yang di luar jangkaan,” luahnya.

Dalam pada itu, seorang pengguna, Aina Mardhiah Abd. Ahmad, 39, berkata, dia kini mampu menarik nafas lega dengan penetapan harga bagi 12 jenis barangan keperluan asas menerusi pelaksanaan SHMKM.

“Harga ayam standard RM9.30 sekilogram sememangnya jauh lebih rendah daripada harga kebiasaan iaitu RM9.80 hingga RM10 sekilogram.

“Biarpun ianya bersifat seketika namun pengguna masih mampu membeli barangan asas untuk keperluan harian seisi keluarga,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN