J Ehsan Nufail permata hati Jahidah - Utusan Malaysia

J Ehsan Nufail permata hati Jahidah

GAMBAR terbaharu J Ehsan Nufail yang dikongsikan oleh Fauziah Nordin.-Gambar ihsan Fauziah Nordin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Selepas hampir seminggu dilahirkan, keluarga memilih nama J Ehsan Nufail untuk bayi kepada mangsa keganasan rumah tangga, Jahidah Nordin yang membawa maksud simbolik hadiah yang sangat bermakna.

J Eshan Nufail yang mesra dengan panggilan ‘Baby J’ itu kini berada di bawah jagaan adik Jahidah iaitu Fauziah Nordin, 40, yang tinggal di Bandar Sri Sendayan di sini.

Fauziah berkata, nama J Ehsan Nufail dipilih sendiri olehnya membawa maksud dalam berkah dan hadiah daripada Allah manakala J itu merujuk kepada nama Jahidah, 43.

“Alhamdulillah kini ‘Baby J’ berada di rumah dan bacaan penyakit kuning atau jaundis neonatal yang dialaminya sudah menurun.

“Tetapi masih kena pantau (bacaan kuning) dan hari ini bawa ‘Baby J’ ke Klinik Kesihatan Sendayan untuk pemeriksaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Fauziah, mereka sekeluarga bersyukur J Ehsan Nufail membesar dengan baik walaupun ketika dalam kandungan doktor memaklumkan kakinya agak kecil.

“Tetapi sekali keluar bayi sihat dan normal, sekarang siap boleh angkat kepala dan badan walaupun baru masuk seminggu,” katanya.

Jahidah selamat melahirkan bayi tersebut secara pembedahan kecemasan kira-kira pukul 9 malam, 30 November lalu.

Fauziah yang sering berkongsi perkembangan terbaharu ‘Baby J’ menerusi media sosial Facebook dan Tiktok turut memberitahu, ada dalam kalangan netizen memaklumkan telinga bayi itu mempunyai perkataan seakan kalimah Allah.

“Pada mulanya saya juga tidak perasan, mungkin ini tanda kebesaran Allah, semua orang sayangkan ‘Baby J’ dan kakak Jahidah,” katanya.

Fauziah berkata, Jahidah kini berada dalam keadaan stabil tetapi masih di bawah pemantauan doktor di Wad Obstetrik dan Ginekologi, Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini.

Dalam pada itu, jelas Fauziah, sejak Jahidah melahirkan J Ehsan Nufail setiap hari ada individu yang prihatin dan mahu sama-sama membantu meringankan beban dia sekeluarga menjaga Jahidah serta permata hatinya itu.

“Bantuan ini sangat bermakna dalam menguruskan kakak Jahidah dan bayi kecil ini, selian semangat semua orang membuatkan saya dan keluarga terus kuat,” katanya lagi.

Sehubungan itu, orang ramai yang ingin memberikan sumbangan ikhlas boleh berbuat demikian menerusi akaun bank CIMB 7617797037 (Fauziah Nordin).

Dalam kejadian pada 4 Mei lalu, Jahidah, yang menetap di Johor Bahru koma disebabkan kecederaan parah pada kepala dengan tengkorak terpaksa dibuang akibat pendarahan selain rahang, tulang belakang serta rusuk retak dipukul suaminya yang berusia 38 tahun.

Jahidah pada mulanya dimasukkan je ICU Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru dan kemudian dipindahkan ke HTJ Seremban atas permintaan keluarga dan nasihat pihak hospital.

Sebelum ini pada 17 Jun lalu, suami mangsa, Rosmaini Abd. Raof mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Johor atas pertuduhan memukul isterinya yang hamil sehingga koma dalam kejadian pada 4 Mei lalu. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya