Bila Ilyas dan Irfan boleh berkhatan, Umi? - Utusan Malaysia

Bila Ilyas dan Irfan boleh berkhatan, Umi?

WAN Roslan Wan Hamat berbual dengan salah seorang peserta Program Khitan Perdana DUN Pengkalan Kubor di Tumpat, Kelantan hari ini. - UTUSAN/ROSLIZA MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Jika kebanyakan kanak-kanak lain takut untuk berkhatan, pasangan kembar dari Kampung Telaga Lanas, di sini pula sebaliknya apabila hampir setiap hari bertanyakan perkara itu kepada ibu mereka.

Hajat Muhammad Iman Ilyas Mazalan, 9, dan adiknya, Muhammad Iman Irfan tercapai dalam program khatan beramai-ramai bersama 144 lagi peserta di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor hari ini.

MUHAMMAD Iman Illyas Mazalan (kiri) dan Muhammad Iman Irfan menyertai Program Khitan Perdana DUN Pengkalan Kubor di Tumpat, Kelantan hari ini. – UTUSAN/ROSLIZA MOHAMED

Ibu mereka, Siti Shukriah Mokhtar, 33, berkata, melihat ramai rakan sebaya yang lain sudah berkhatan, anak-anaknya mula bertanyakan kepadanya bila mereka berdua boleh turut berkhatan.

“Sejak tahun lepas lagi sebenarnya mereka sudah bertanya, bila Ilyas dan Irfan boleh berkhatan, Umi? Nak hantar ke klinik swasta kami tidak mampu sebab kosnya mahal hingga mencecah RM200.

“Apabila ada program berkhatan beramai-ramai ini, suami, Mazalan Mohamad, 53, cepat-cepatkan daftarkan mereka berdua dan Alhamdulillah, hari ini kedua-duanya selamat dikhatankan,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Kata Siti Shukriah, Muhammad Iman Ilyas dan Muhammad Iman Irfan bukan sahaja teruja dapat berkhatan hari ini, malah kedua-duanya juga tidak menunjukkan rasa sakit sebagaimana kanak-kanak lain.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kubor, Wan Roslan Wan Hamat berkata, Program Khitan Perdana DUN Pengkalan Kubor merupakan acara tahunan anjuran pihaknya.

Namun, tahun lepas katanya, program itu tidak dapat diadakan akibat penularan pandemik Covid-19.

“Tahun ini, kita dapat meneruskan program membabitkan 146 kanak-kanak berumur lima hingga 13 tahun dengan mengamalkan norma baharu terutama pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

“Program ini menyasarkan golongan asnaf. Mereka hanya perlu bayar RM20 bagi setiap kanak-kanak, berbanding kos asal dikenakan di klinik swasta sekitar RM100 bagi seorang kanak-kanak,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN