ARAU: Perlis merekodkan terdapat 19 hingga 20 makam batu Acheh dari zaman awal kesultanan Kedah yang mempunyai nilai sejarah dan warisan berharga di negeri ini.
Kewujudan makam-makam berbatu Acheh di Perlis itu membuktikan kehadiran orang-orang Acheh di Kedah melalui aktiviti perdagangan dan penyebaran Islam dari tahun 1,200 masihi.
Antara lokasi makam terbabit seperti di Kampung Binjal; Kampung Guar Syed Alwi; Kampung Ngulang; Kampung Pondok; Kampung Jejawi Dalam; Kampung Kota Keran, Kampung Panggau; Kampung Tok Paduka; Kampung Katong,Pauh; Kampung Wai, Kuala Perlis dan beberapa lokasi lain sekitar negeri ini.
Difahamkan makam Acheh tersebut ialah makam Tok Tina Aluih; makam Tok Dining @ Dinding; makam Tok Sena; makam Tok Jaya; makam Tok Gargut dan beberapa makam lain yang dianggarkan sebanyak 19 buah.
Menurut rekod, penemuan pertama batu Acheh di Kampung Tok Paduka seperti mana di dalam laporan akhbar Utusan Melayu pada 23 Mac 1974 itu telah menarik minat Othman Mohd. Yatim untuk mengkaji dengan lebih mendalam makam-makam lama di sekitar negeri ini.
Hasil kaji selidik dijalankan itu sembilan makam lama berbatu nisan Acheh telah ditemukan antara tahun 1970-an hingga 1980-an di sekitar Perlis dan penemuan demi penemuan terus direkodkan selepas itu khususnya di kawasan penempatan penduduk kampung.
Malah, makam berbatu Acheh tersebut lazimnya dikaitkan dengan sultan, kerabat diraja dan para pembesar.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Kelab Gerila Sejarah Perlis, Muhammad Aiman Abdullah berkata, kewujudan makam-makam batu Acheh di negeri ini berharga dan mempunyai nilai sejarah.
Bagaimanapun,katanya, kebanyakkan lokasi-lokasi makam tersebut terbiar dengan semak samun selain mengundang risiko kemusnahan serta terdedah dengan aktiviti khurafat seperti pemujaan dan vandalisme.
Malah katanya, ada lokasi yang menjadi kawasan pembuangan sampah serta tempat menambat lembu.
Ekoran itu, katanya, dia bersama rakan-rakan kelab sering meluangkan masa melakukan aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan berkenaan beberapa bulan sekali bagi memulihara kawasan bersejarah itu.
“Jika dibiarkan, kawasan makam berkenaan dipenuhi semak samun dan mengundang risiko kerosakan jika ada dalam kalangan penduduk yang tidak menyedari kewujudan makam Acheh itu. Ramai yang mungkin tidak tahu, bahawa makam berbatu itu mempunyai nilai sejarah.
“Dilihat hanya tiga atau empat makam sahaja terjaga seperti di Ngulang, Utan Aji dan Tok Mani manakala selebihnya terbiar. Setiap tiga bulan kami akan membersihkan kawasan makam tersebut yang jika dibiarkan akan dipenuhi semak samun,” katanya.
Sehubungan itu, Muhammad Aiman berharap pihak bertanggungjawab meletak papan tanda mengenai kewujudan makam terbabit atau pagar di kawasan berkenaan bagi mengelak kemusnahan.
“Kadang-kadang ada yang tidak sedar mengenai kewujudan makam-makam tersebut yang mempunyai nilai sejarah,” katanya. -UTUSAN ONLINE