PUTRAJAYA: Kadar kitar semula nasional merekodkan peningkatan signifikan sejak Dasar Pengurusan Sisa Pepejal Kebangsaan diperkenalkan oleh kerajaan pada 2016 lalu.
Keyakinan itu disuarakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora Sdn. Bhd., Datuk Mohd. Zain Hassan apabila merujuk kejayaan melepasi sasaran 20 peratus sepanjang tahun lepas.
“Seluruh negara merekodkan 28 peratus kutipan sisa kitar semula, malah kami di Putrajaya pun mampu proses 4,127 tan pada tahun lalu berbanding 3,744 tan pada 2019,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Justeru, beliau optimis Malaysia sebenarnya dapat mencapai 40 peratus yang ditetapkan menjelang tahun 2025 kerana trend kesedaran rakyat sudah ada dan perlu diperkasakan lagi.
Sekadar perbandingan dengan negara jiran, Singapura merekodkan 34 peratus, manakala di benua Asia, Korea Selatan dianggap model terbaik dengan kadar pencapaian 54 peratus.
Langkah ini ujarnya dijangka mampu memanjangkan jangka hayat 147 tapak pelupusan sisa pepejal yang beroperasi di negara ini apabila sebahagian sampah domestik itu dikitar semula.
Setiap hari, penduduk di seluruh negara termasuk warga asing, membuang hampir 38,000 tan sisa pepejal atau congak secara purata 1.2 kilogram sampah yang telah dijana setiap individu.
Daripada jumlah itu, 45 peratus merupakan sisa makanan, diikuti kertas sebanyak 25 peratus, plastik (tujuh peratus), logam (enam peratus), kaca (tiga peratus) dan lain-lain (15 peratus).
Mohd. Zain menambah, bagi mencapai misi itu, pelbagai kempen kesedaran dan pendidikan berterusan akan dibuat dengan mengubah paradigma minda rakyat apabila melihat sampah.
“Kita mahu orang selepas ini jika tengok sampah, dia akan terbayang seperti bahan komoditi yang bernilai ada harga seumpama emas dan tentu tidak akan buang merata-rata,” katanya.
Sehubungan itu, Alam Flora mewujudkan banyak pusat belian semula untuk ditukar dengan wang tunai demi menggalakkan rakyat mengitar semula barangan yang dianggap sampah.
Ketika ini jelasnya, terdapat 13 pusat sedemikian termasuk Fasiliti Inovasi Kitar Semula di Presint 5 selain beberapa lokasi di sekitar Putrajaya, Cyberjaya, Kuala Lumpur dan Pahang.
Pada masa sama, syarikat berkenaan turut menggalakkan lebih 3,000 pekerjanya melakukan pengkomposan sisa makanan di rumah masing-masing untuk diurai menjadikan baja organik.
Bahkan, mereka semua diwajibkan membawa mangkuk tingkat apabila membeli makanan di gerai atau restoran jika mahu dibawa balik ke pejabat atau rumah berbanding beg plastik.
“Kami mahu jadi teladan kepada masyarakat dan bukannya setakat cakap,” kata Mohd. Zain sambil menunjukkan mangkuk tingkat sebagai cenderamata diberikan kepada petugas media.
Beliau bagaimanapun meluahkan perasaan kesal dengan sikap segelintir rakyat yang masih pengotor malah memandang jijik pekerja pembersihan tetapi tidak pula menjaga kebersihan.
Sikap negatif itu jelasnya, masih di takuk lama dan menyarankan kerajaan belajar dari Jepun yang hukum denda hampir RM1,000 jika buang kelengkapan rumah tanpa dikitar semula.
Begitu juga di Jerman, apabila pihak industri dan syarikat swasta diwajibkan mengasing dan mengitar semula paling kurang 80 peratus daripada barangan yang dibuang premis mereka.
Beliau memberi contoh mudah tabiat buang sampah dari kereta kerana malas menyimpan dalam kenderaan itu sehingga tular dikongsi pengguna media sosial tempatan akhir-akhir ini.
““Saya berterima kasih kepada sikap berani pemandu yang prihatin kutip sampah dan campak semula ke kereta terbabit sebagai tanda marah tindakan biadab kelompok itu,” katanya.
Ironi, tingkah laku tersebut amat nadir kerana ramai berasa bimbang dimarahi dan lebih teruk akan dibuli balik pemandu ‘pengotor’ itu yang berlagak enggan akui kesalahan diri mereka.
Padahal katanya, jika suspek itu dicekup pihak berkuasa tempatan (PBT) boleh dikompaun serta-merta RM50, bahkan ada kes mengenakan kadar RM10,000 seperti di Bandar Melaka.
Untuk Wilayah Persekutuan dan enam negeri yang meratifikasi Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007, pesalah itu boleh didenda hingga maksimum RM100,000.
“Oleh itu, kami menyokong kempen ‘Berani Tegur’ dilancarkan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) bagi ajar orang yang degil sebegini,” katanya. -UTUSAN ONLINE