KOTA BHARU: Seorang lelaki gigih menunggang motosikal masuk ke segenap pelosok tempat di daerah ini sehingga sejauh 100 kilometer setiap hari untuk menghantar susu berperisa yang ditempah pelanggan.
Antara lokasi sering disinggahinya ialah pusat bandar ini, Kubang Kerian, Pasir Tumboh, Panji, Pengkalan Chepa, Wakaf Che Yeh, Pantai Cahaya Bulan (PCB), Kok Lanas, Salor dan Pasir Hor.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Nik Muhamad Afiq Mas Kuri, 33, berkata, selepas berhenti kerja di sebuah kilang di Johor tahun lalu, dia dan isteri berdepan masalah kewangan dan bertekad pulang ke kampung.
“Kehidupan kami yang ada dua anak berusia tiga enam bulan dan tiga tahun amat susah akibat pandemik Covid-19. Pada mulanya kami berniaga air dalam balang secara kecil-kecilan di tepi jalan pada April lalu namun hasilnya tidak seberapa bagi menampung hidup.
“Jadi saya bertekad keluarkan wang simpanan RM700 sebagai modal untuk hasilkan sendiri susu berperisa strawberi, coklat, epal dan keladi dalam botol bersaiz 250 mililiter dan 500 mililiter. Syukur perniagaan kami mula dapat tempahan.
“Kami buat penghantaran susu ditempah pelanggan dengan menggunakan motosikal setiap hari. Bagi tujuan itu, saya keluar dari rumah di Ketereh bermula pukul 1.30 petang dan balik menjelang malam,” katanya di sini baru-baru ini.
Meskipun bergelut di peringkat awal, Nik Muhammad Afiq dan isteri bagaimanapun mampu menarik nafas lega apabila hasil jualan purata susu keluaran mereka, Queen Susu Original kini antara RM150 hingga RM350 sehari.
Pasangan suami isteri itu juga berusaha mengembangkan perniagaan dengan cara membuka sebuah kedai di Batu 4, Jalan Kota Bharu – Kuala Krai, di sini yang disewa dengan kadar RM200 sebulan.
“Sementara saya keluar menghantar susu kepada pelanggan, kedai kami dijaga isteri, Nur Awanis Mohamad. Proses membuat susu pula dilakukan pada waktu malam mengikut jumlah yang dipesan pelanggan serta untuk dijual di kedai.
“Alhamdulillah, berkat kesungguhan mencari rezeki halal untuk membesarkan anak-anak, perniagaan kami semakin berkembang. Yang penting, jangan mudah putus asa apabila kita berdepan ujian,” katanya. -UTUSAN ONLINE