SHAH ALAM: Sebuah rakaman video tular dalam media sosial memaparkan seorang lelaki hanya memakai seluar dalam ketika menunggang motosikal dipercayai berlaku di Jeram, Kuala Selangor.
Video tersebut menunjukkan lelaki terbabit juga melanggar peraturan jalan raya seperti tidak memakai topi keledar, kasut serta duduk dengan betul ketika menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda.
Namun, penunggang berkenaan kemudian menghentikan motosikalnya di tepi jalan selepas dipintas seorang pemandu lori yang menegurnya sambil merakam insiden tersebut.
Rakaman video berdurasi hampir satu minit itu kemudian menarik perhatian pengguna Facebook apabila mendapat lebih 100 tanda reaksi serta hampir 50 komen dan perkongsian.
Bagaimanapun, pengguna yang melontarkan komen berkenaan rata-ratanya menyifatkan penunggang motosikal berkenaan sebagai kurang siuman kerana membahayakan keselamatan diri selain ‘berlenggeng’ dalam keadaan panas terik.
Malah ada mendakwa, lelaki berkenaan menunggang motosikal dalam keadaan sedemikian hampir 30 kilometer.
“Tadi, baru terserempak dekat lampu isyarat Tanjong Karang,” kata Sabariah Bt Idris Sabariah.
“Ini tadi dekat (jumpa) dekat Parit 2, Sungai Burung. Lepak tepi jalan. Sampai kuala (Kuala Selangor) sudah ye,” komen Mohd. Izrul.
“Ini macam orang yang sama pernah jumpa dekat Sungai Besar. Bawa air dalam botol sambil jalan-jalan dekat tengah-tengah jalan,” ujar Siti Rizaki.
Namun, ada juga pengguna yang memberikan pelbagai andaian terhadap penunggang motosikal itu.
“Bahana dadah tak?” soal Mat Srun.
“Nampak tadi. Ingatkan cacat kaki sebelah,” sangka Dauz Jahya.
Bagaimanapun, Utusan Malaysia akan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor bagi mendapatkan maklumat lanjut. – UTUSAN ONLINE