PETALING JAYA : Remaja lelaki berusia 16 tahun dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Taman Damai Mewah, Jalan Semenyih, Kajang ditemukan semula oleh keluarganya.
Remaja berkenaan, Tay Hoe Guan ditemukan orang awam berada di sekitar pusat beli belah terkemuka di ibu negara pagi ini sebelum memaklumkan perkara itu kepada keluarganya.
Mengesahkan perkara itu, kakak kepada remaja berkenaan, Tay Wey Shein, 18, berkata, adiknya ditemukan dalam keadaan selamat dan ibu bapanya dalam perjalanan untuk mengambil remaja berkenaan.
“Adik saya telah ditemukan dalam keadaan selamat. Tidak dapat dipastikan mengapa dia keluar dan menghilangkan diri daripada rumah,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan seorang remaja lelaki dilaporkan hilang sejak 17 November lalu.
Remaja berkenaan telah keluar dari rumahnya seorang diri tanpa membawa telefon bimbit dan dompet serta kad pengenalan diri kira-kira pukul 3.58 pagi pada Selasa lalu.
Dalam pada itu, satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan remaja berkenaan melalui pos pengawal kawasan perumahannya. -UTUSAN ONLINE