LANGKAWI: Sebanyak 60 pemandu pelancong menjalani kursus pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sebagai persediaan pembukaan semula pulau peranginan ini kepada pelancong antarabangsa di sini.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Nasaruddin Abdul Muttalib berkata, pemandu pelancong tersebut yang merupakan barisan hadapan dalam menyambut ketibaan pelancong antarabangsa yang akan memasuki pulau peranginan ini bermula 15 November ini.
“Kita harap dengan pelaksanaan kursus ini, pemandu pelancong dapat memahami semua komponen SOP dengan baik.
“Besar harapan LADA agar pemandu pelancong dapat menyampaikan maklumat yang tepat serta membimbing pelancong asing untuk sentiasa mematuhi SOP demi kebaikan kita bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Kursus Penilaian SOP Covid-19 untuk pemandu pelancong sempena gelembung pelancongan antarabangsa Langkawi di sini hari ini.
Jelasnya, usaha penganjuran kursus ini diharapkan dapat membantu Langkawi membina semula keyakinan pelancong asing.
Beliau memberitahu, kursus tersebut menekankan tiga komponen utama iaitu pengenalan dan pematuhan SOP projek rintis gelembung pelancongan antarabangsa Langkawi, pemandu pelancong norma baharu dan Kempen MySafe Langkawi bagi memastikan semua peserta dapat memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelancong.
Menurut Nasaruddin lagi, pelancong asing yang memasuki pulau ini juga diwajibkan menggunakan perkhidmatan pemandu pelancong sepanjang berada di sini. -UTUSAN ONLINE