ALOR SETAR: Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) menyarankan agar kerajaan mempertimbangkan langkah intervensi untuk menstabilkan harga baja dan racun khususnya bagi sektor penanaman padi demi menjamin sekuriti makanan negara.
Pengerusinya, Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, langkah campur tangan itu penting bagi membantu peladang MADA dalam menguruskan kos operasi perladangan berada di tahap yang optimum dan boleh memberi keuntungan kepada mereka.
“MADA menyambut baik langkah yang diambil oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menubuhkan Jawatankuasa Bersama Berkenaan Isu Kenaikan Harga Baja dan Racun.
“Dengan mengambil kira faktor-faktor luar kawalan yang menyebabkan kenaikan harga tersebut, MADA ingin mencadangkan pihak kerajaan pertimbangkan langkah intervensi ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Pada masa yang sama, katanya, MADA juga mencadangkan agar peladang-peladang mengadaptasi Pengurusan Perosak Bersepadu (PPB) dalam pengurusan sawah padi dengan mengamalkan kawalan perosak dan penyakit berdasarkan penentuan tahap ambang ekonomi (Economic Threshold Level-ETL).
“Peladang boleh merujuk di 945 lokasi bendera amaran pengawasan dan ramalan bagi menentukan tahap kehadiran perosak dan penyakit.
“Amalan penggunaan racun secara intensif dan berjadual tanpa mengira kehadiran perosak dan penyakit di petak sawah boleh menyebabkan pembaziran racun kimia dan meningkatkan kos operasi ladang,” jelasnya.
Katanya, sebagai rekod, terdapat seluas 100,685 hektar sawah padi di kawasan Muda yang diuruskan oleh 57,635 peladang menyumbang secara purata kepada 40 peratus pengeluaran padi negara.
Akhbar ini melaporkan, dianggarkan hampir satu juta petani di negara ini terkesan berikutan kenaikan berterusan harga racun rumpai yang dikatakan mencecah sehingga 100 peratus sekaligus menyebabkan golongan tersebut mengalami kerugian.
Kenaikan tersebut dikatakan berlarutan sejak Mac lalu dan menunjukkan peningkatan setiap bulan sehingga mencecah RM400 bagi 20 liter bahan keperluan pertanian berkenaan ketika ini. -UTUSAN ONLINE










