Ibu tunggal bangkit demi tiga anak kembar - Utusan Malaysia

Ibu tunggal bangkit demi tiga anak kembar

ZAHARIAH Yusof menunjukkan mee bandung yang dijualnya bersama gambar tiga anak kembar di Warung Asy Fattah Kembar 3 Family di Kampung Simpang Kiri, Air Masin, di Pontian, Johor. -UTUSAN/MUHAMMAD ZIKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Kisah ibu tunggal ini pernah menjadi viral di media sosial selepas melahirkan kembar tiga pada April tahun lalu ketika negara berusaha mencegah penularan Covid-19 yang sedang mengganas.

Fattah Salahudin, Fattah Zulfadli dan Fattah Zulfaqar yang kini berusia setahun enam bulan dilahirkan di ketika bekas suaminya diberhentikan kerja sebagai tukang masak di sebuah hotel di Johor Bahru.

Namun, dengan perpisahan dengan suami yang berlaku pada tahun ini, Zahariah Yusof, 41, bangkit dengan mengusahakan perniagaan makanan yang dinamakan Warung Asy Fattah Kembar 3 Family di Kampung Simpang Kiri, Air Masin, dekat sini.

Katanya, perniagaannya dengan masakan utama mi bandung udang istimewa itu mula beroperasi pada bulan Ogos lalu kerana tidak mahu terus bergantung kepada menjual burger di pekan Penerok.

Menurut Zahariah, dia membeli tanah dan rumah kepunyaan bapa saudaranya di kampung tersebut seterusnya memulakan perniagaan dengan dibantu oleh seorang rakan karibnya dan seorang pekerja.

“Saya perlu bangkit bagi masa depan ketiga-tiga anak kembar yang semakin membesar setelah berpisah dengan suami, walaupun keupayaan terbatas namun dorongan rakan-rakan membuat saya kuat.

“Mi bandung menggunakan resepi sendiri dengan menggunakan udang segar yang dibeli daripada nelayan di kawasan Kampung Simpang Kiri menjadi taruhannya bagi menarik pelanggan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, semalam.

Tambah Zahariah, walaupun warungnya terletak jauh di pedalaman, namun bukan halangan untuk dia menampilkan mi bandung, selain makanan panas yang lain sebagai menu tambahan kepada pelanggan.

“Namun apabila jalan Pekan Nanas ke Tanjung Bin serta jambatan yang menyeberangi Sungai Pulai ke Pontian yang bermula di Kampung Simpang Kiri siap sepenuhnya, ia akan memudahkan kedatangan pengunjung,” ujarnya.

Oleh itu katanya, langkah yang diambil dengan memilih Kampung Simpang Kiri sebagai lokasi perniagaan mi bandung sebagai tepat kerana adanya jaringan perhubungan yang memudahkan orang ramai berkunjung ke warungnya.

Jelasnya, kedai makannya menawarkan harga dari RM8 sehingga RM20 bergantung kepada makanan laut yang diletakkan di dalam hidangan itu.

Katanya, setelah beroperasi hampir tiga bulan, jualan mi bandungnya telah berjaya menarik kehadiran pengunjung bukan sahaja penduduk tempatan juga dari Johor Bahru, Kulai dan Batu Pahat.

“Dengan bantuan jaringan media sosial telah dapat meluaskan pasaran mi bandung dan cita rasa Pontian seperti asam pedas yang juga popular,” jelasnya.

Mengenai ketiga-tiga kembarnya, dia memberitahu, mereka kini dijaga oleh ibu angkatnya di Kampung Seri Bunian, kira-kira 10 kilometer dari rumahnya dan hanya dapat berjumpa seminggu sekali pada setiap hari Khamis.

Dia berharap dengan pengorbanan dan usaha kerja kerasnya akan dapat membesarkan tiga orang anaknya yang tentunya memerlukan banyak perbelanjaan apabila mereka semakin membesar kelak. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN