5 tahun tunggu janji bantuan rumah - Utusan Malaysia

5 tahun tunggu janji bantuan rumah

KEADAAN rumah Aminah Abd. Rahman yang daif di Kampung Bagan Ikan di Bagan Datuk. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK: Seorang wanita warga emas, Aminah Abd. Rahman, 70, kesal kerana bantuan rumah yang lebih selesa untuknya yang dijanjikan oleh pihak tertentu lima tahun lalu, masih belum diterimanya.

Hidup sebatang kara dan tidak pernah berkahwin, Aminah kini tinggal di rumah yang serba daif di Kampung Bagan Ikan dekat sini.

Menurutnya, sebelum ini ada pihak yang berjanji untuk membina rumah baharu untuknya.

Katanya, janji itu dibuat kira-kira lima tahun lalu selepas pihak yang berkenaan melihat sendiri keadaan rumahnya yang daif.

“Sejak itu saya sudah mengimpikan untuk tinggal di sebuah rumah yang lebih selesa seperti yang dijanjikan. Janjinya saya diberikan rumah baharu atau rumah ini dibaik pulih, tetapi sehingga kini apa yang dijanjikan belum dilaksanakan.

“Saya mahu menjalani kehidupan yang lebih selesa,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.

Aminah, anak keempat daripada lapan beradik berkata, adik-beradiknya yang lain sudah berkeluarga juga menjalani hidup serba kekurangan.

Katanya, dia tidak mahu menyusahkan adik-beradiknya kerana dia menerima bantuan bulanan RM300 daripada Baitulmal Bagan Datuk.

“Untuk makan minum, saya mendapat bantuan bulanan, cuma apa yang saya impikan ialah sebuah rumah yang lebih selesa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Bagan, Datuk Ismail Ibrahim berkata, Aminah tinggal bersendirian di rumah yang daif.

Menurutnya, Aminah layak untuk mendapat bantuan kediaman baharu yang selesa atau rumah sedia ada dibaik pulih.

“Saya berharap pihak yang berkenaan memberikan bantuan kepadanya seperti yang pernah dijanjikan sebelum ini.

“Kasihan melihat keadaannya yang menjalani hidup seharian di rumah yang daif,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN