KOTA KINABALU: “Tempoh tiga minggu sesi persekolahan bersemuka ini sangat berharga untuk kami mengejar semula pelajaran yang tertinggal bagi semester dua.”
Itu luahan pelajar Tingkatan Enam Maktab Sabah, Mohamad Nazeem Jamaldin mengenai pembukaan semula sesi persekolahan hari ini.
Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Maktab Sabah ini berkata, sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) agak perlahan maka, apabila sekolah dibuka semula ia memberi ruang kepada mereka untuk mengejar semula pelajaran yang tertinggal.
Mohamad Nazeem berkata, apabila berada di rumah, dia sukar untuk memberi fokus sepenuhnya kepada PdPR kerana mempunyai komitmen lain sebagai anak di rumah.
“Apabila sekolah dibuka semula, saya kena persiapkan mental bahawa saya bukan lagi berada di rumah. Ini masanya untuk kita fokus 100 peratus kepada akademik.
“Secara peribadi, saya amat gembira kerana dapat kembali ke sekolah dan berjumpa dengan kawan-kawan. Memang belajar menjadi keutamaan di sekolah tapi, berjumpa semula kawan-kawan itu satu bonus,” katanya ketika ditemui hari ini.
Tambahnya, dia yakin untuk kembali ke sekolah kerana dia sudah menerima vaksin lengkap sejak Julai lalu. Malah, sekolah itu turut melaksanakan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
Tinjauan di Pusat Tingkatan Enam Maktab Sabah pagi ini mendapati semua pelajar yang hadir ke sekolah mematuhi penjarakan fizikal serta memakai pelitup muka.
Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Maktab Sabah, Datuk Fatima Shara Ahmad Noor berkata, sebagai langkah memastikan pelajar berasa selamat berada di sekolah, pihak Maktab Sabah turut mengadakan program vaksinasi di dewan sekolah pada 28 dan 29 September lalu bagi memudahkan proses vaksinasi pelajar yang belum divaksin.
“Saya percaya kebanyakan pelajar sekolah ini sudah menerima vaksin dan mungkin hanya ada seorang atau dua sahaja yang belum sempat divaksin.
“Jadi, kita berharap program vaksinasi ini dapat mengelakkan jangkitan Covid-19 berlaku dalam sekolah,” katanya.
Mengulas lanjut katanya, pihak sekolah sentiasa mengamalkan pematuhan SOP yang ketat dalam kalangan pelajar jadi, pergerakan pelajar masuk dan keluar dari sekolah akan sentiasa dipantau.
Justeru, PIBG akan sentiasa memberi kerjasama yang baik dengan pihak sekolah bagi memastikan keselamatan pelajar dan pematuhan SOP ditetapkan oleh kerajaan negeri dan Kementerian Kesihatan Malaysia dipatuhi.
Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Dr Mistirine Radin berkata, sesi persekolahan bersemuka di Sabah hari ini membabitkan 16,328 orang pelajar daripada empat kategori yang dibenarkan bersekolah di negeri Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Empat kategori itu adalah pelajar tingkatan enam atas, murid berkeperluan khas, pelajar prauniversiti semester tiga di Sekolah Sukan Malaysia, Sabah dan murid mengambil peperiksaan antarabangsa. -UTUSAN ONLINE