KUALA TERENGGANU: Pemberian insentif bagi membantu pengusaha dan pekerja hotel di negara ini yang terkesan dengan impak Covid-19 diharap dapat diteruskan sekurang-kurangnya hingga Jun 2022.
Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Chapter Terengganu, Suaibah Harun berkata, bantuan seperti Program Subsidi Upah (PSU) dan diskaun bil utiliti amat diperlukan pengusaha hotel dalam mengharungi tempoh getir pada masa ini.
“Bantuan PSU sangat bermanfaat untuk pengusaha hotel kerana secara tidak langsing kita dapat mengekalkan jumlah pekerja di premis masing-masing
“Harapan kita agar inisiatif itu dapat diteruskan sekurang-kurangnya hingga Jun 2022 atau pintu sempadan antarabangsa dibuka semula,” katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.
Sebanyak 36 hotel di negeri ini berdaftar dengan MAH Terengganu.
Di samping itu, Suaibah yang juga Pengurus Besar Hotel Primula menggesa campur tangan kerajaan bagi meneliti semula cukai digital untuk ejen pelancongan dalam talian seperti Booking dan Agoda yang didakwa terus melambung hingga mencecah 30 peratus.
“Tanpa pemantauan kerajaan kita bimbang nilainya terus meningkat jadi harga siling komisen perlu ditetapkan.
“Kita juga berharap kerajaan dapat meneruskan pengecualian cukai pelancongan hingga 2023 dan pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) untuk bilik dan makanan hingga Jun 2022,” katanya. -UTUSAN ONLINE