Sultan Johor 'belanja' 150,000 penerima vaksin makan KFC - Utusan Malaysia

Sultan Johor ‘belanja’ 150,000 penerima vaksin makan KFC

YSIJ dengan kerjasama QSR Brands memberikan 150,000 baucar KFC percuma kepada penerima suntikan vaksin Covid-19 di Johor Bahru, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Bagi menggalakkan lebih ramai penduduk negeri ini mendapatkan suntikan vaksin Covid-19, Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) telah menyumbang sejumlah 150,000 baucar makanan segera KFC.

 

Inisiatif berkenaan dilakukan YSIJ dengan kerjasama QSR Brand (M) Holdings Bhd.

 

Ahli Lembaga Pemegang Amanah YSIJ, Datuk Avinderjit Singh berkata, program itu diperkenan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang sentiasa menggalakkan rakyat untuk mengambil vaksin bagi melindungi diri daripada Covid-19.

 

“Tuanku Sultan amat menggalakkan semua rakyat Johor untuk mengambil vaksin bagi membolehkan Johor mencapai imuniti kelompok serta beralih ke Fasa 3, Fasa 4 dan seterusnya,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

 

Sementara itu, Pengerusi CITF Johor, Datuk Mohd. Noh Ibrahim pula memberitahu, pemberian baucar itu akan menarik ramai lagi individu untuk menerima vaksin terutama dalam kalangan remaja.

 

“Menjunjung kasih kepada Tuanku Sultan di atas inisiatif sumbangan baucer KFC ini. Kami dari pihak CITF menghargai usaha Baginda dan YSIJ bagi menggalakkan rakyat mendapatkan vaksin,” ujarnya.

 

Baucar tersebut membolehkan penerimanya menebus satu burger Zinger Classic secara percuma apabila membeli satu burger yang sama di KFC seluruh Malaysia. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN