KANGAR : Lokasi perkelahan dan perkhemahan popular negeri ini iaitu di Bukit Jernih dan Bukit Ayer di sini dicemari dengan sampah-sarap termasuk di dalam serta tepi sungai di kawasan pelancongan berkenaan.
Ekoran sikap segelintir masyarakat yang tidak bertanggungjawab membuang serta meninggalkan sampah di kawasan tersebut sekali gus dapat memberi kesan terhadap isu kesihatan seperti penyakit kencing tikus, ekosistem sungai terganggu serta mencemarkan imej pelancongan negeri ini.
Sebagai rekod, sebanyak 233.5 kilogram sampah dikutip oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar, Pahlawan Sampah Perlis (Trash Hero Perlis) dalam tempoh enam kali aktiviti kutipan sampah di kawasan berkenaan sekali gus menggambarkan betapa seriusnya isu sampah di lokasi perkelahan popular tersebut.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pahlawan Sampah Perlis, Rosnani Nazri berkata, selain bekas polisterin dan botol plastik, lampin pakai buang antara yang dikesan banyak ditinggalkan di kawasan itu.
Katanya, dianggarkan 20 hingga 30 lampin pakai buang dikenal pasti ditinggalkan sehari khususnya pada cuti hujung minggu.
Jelasnya, sepanjang dua kali kutipan di Bukit Jernih sebanyak 111.6 kilogram dikutip manakala di Bukit Ayer pula sebanyak 121.9 kilogram sampah dalam tempoh empat kali kutipan sepanjang 2020 dan tahun ini.
“Tahap kesedaran terhadap isu sampah ini masih rendah. Ada yang tinggalkan sampah sama ada ketika berkelah dan aktiviti perkhemahan.
“Kesedaran membawa pulang sampah perlu ada bagi memastikan lokasi pelancongan itu bersih sekali gus mampu menjaga keindahan alam sekitar di kawasan berkenaan.
“Selain itu, tindakan membakar sampah bagi melupuskan sampah turut memberi kesan khususnya terhadap kesihatan dan alam sekeliling,” katanya yang aktif bersama Pahlawan Sampah Perlis menjalankan kerja-kerja sukarelawan mengutip sampah di lokasi-lokasi pelancongan sekitar negeri ini sejak dua tahun lalu.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Persatuan Rekreasi Bukit Jernih (PRBJ), Salikin Che Selimen memberitahu, sedih dan kecewa melihat masih ada individu yang meninggalkan serta membuang sampah di kawasan tersebut sekali gus mencemarkan imej kawasan rekreasi itu.
Katanya, Bukit Jernih menjadi tumpuan khususnya pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad dengan dianggarkan 100 pengunjung sehari.
“Dianggarkan lebih 50 kilogram sampah sehari khususnya pada cuti hujung minggu itu.
Kita selalu memberi kesedaran supaya tidak membuang atau meninggalkan sampah di sini.
“Kadang-kala sangat kecewa melihat tahap kesedaran yang masih rendah ini. Sayang lokasi tersebut sangat cantik dan baru hendak berkembang dan menjadi tumpuan orang ramai. Kalau boleh semasa balik, bawa balik juga sampah, jangan tinggalkan di sini,” katanya. -UTUSAN ONLINE