PONTIAN: Kisah ibu tunggal yang menunggu bantuan membaiki rumahnya yang rosak dalam kejadian ribut di Lorong Atap, Jalan Bakek di sini mendapat perhatian wakil rakyat Pulai Sebatang yang akan menghantar pegawainya untuk menilai kerosakan berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang, Muhammad Taqiuddin Che Man berkata, beliau bersedia membeli bahan yang diperlukan bagi membolehkan kerosakan seperti atap zink, dinding, lantai yang rosak dapat dibaiki sebagaimana permintaan mangsa.
“Sebelum ini pada hari kejadian, pejabat ADUN juga telah memberikan sumbangan segera serta bakul makanan bagi kegunaan ibu tunggal ini bersama seorang anaknya yang tinggal bersama,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Pada Selasa, akhbar ini melaporkan rintihan Jamaliah Abdullah, 54, yang masih menunggu bantuan untuk membaiki rumahnya selepas dilanda ribut baru-baru ini memandangkan cuaca hujan atau ribut yang mungkin berulang akan memberi kesan kepada kediamannya.
Kata ibu tunggal itu, walaupun rumahnya dibina atas tanah rizab Jabatan Pengairan Saliran (JPS) di tepian Sungai Pontian Kecil, namun dia ada membayar lesen pendudukan sementara (TOL) pada setiap tahun.
Dia mengakui tidak mempunyai tanah untuk membina rumah baru melainkan tinggal di rumah peninggalan arwah bapanya itu yang didiami sejak 30 tahun lalu.
Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pontian (MPPn), Mohd. Ezzuddin Sanusi berkata, bantuan segera bencana alam telah diserahkan kepada Jamaliah melalui Yayasan Perbandaran Pontian, pagi semalam.
“MPPn tidak mempunyai peruntukkan bagi kerja-kerja membaik pulih rumah, namun bantuan yang lain boleh dipertimbangkan bagi meringankan bebanan keluarga itu,” jelasnya.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung Kelab Jejak Orang Muda (KJOM) Khairul Aqmal Mohamad Jahis berkata, pihaknya juga telah memberikan bantuan bakul makanan kepada keluarga Jamaliah pada Ahad lalu.
“Insha-Allah, KJOM juga bersedia membantu kerja-kerja baik pulih jika diminta dengan menggunakan kepakaran ahli-ahli kami dalam bidang pertukangan dan pembinaan,” ujarnya.
Kata Khairul Aqmal, jika ada pihak yang ingin menghulurkan sumbangan untuk membeli barangan bagi membaik pulih rumah Jamaliah boleh salurkan ke akaun Agrobank kelab berkenaan, 1005861000019618 atau hubunginya di talian 017-7740769. -UTUSAN ONLINE










