BALIK PULAU: Seorang pelajar tingkatan satu Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di Sekolah Menengah Kebangsaan Pondok Upeh di sini melahirkan perasaan teruja dan bersemangat untuk mengikuti sesi persekolahan secara bersemuka hari ini.
Muhammad Raziq Azizan, 13, yang mempunyai masalah pembelajaran itu berkata, hasratnya untuk kembali ke sekolah setelah hampir lima bulan berada di rumah akhirnya terlaksana.
Menurut anak kedua daripada tiga beradik itu, dia berpeluang bertemu semula dengan rakan baharu dan guru-guru kelasnya yang sebelum ini hanya dilihat secara dalam talian.
“Rasa seronok kerana dapat kembali ke sekolah, sudah lama saya tunggu hari sebegini.
“Biarpun tak ramai kawan yang datang, tetapi, saya gembira dapat belajar dengan guru hari ini,” katanya ketika ditemui di sini.
Muhammad Raziq turut ditemani ayahnya, Azizan Mohamed, 44, dan ibu, Rahimah Ramli, 37, ketika pulang dari sekolah.
Hadir sama ialah Pengerusi Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Air Putih, Ismail Kassim.
Sementara itu, Rahimah memberitahu, dia melahirkan perasaan lega disebabkan anak istimewanya itu tetap mempunyai semangat kental untuk kembali ke sekolah.
“Sebelum ini, saya sangat bimbang sekiranya dia (Muhammad Raziq) menolak untuk kembali ke sekolah. Namun, pagi tadi, dia yang bangun awal dan tidak kekok untuk memulakan sesi persekolahannya,” jelasnya.
Dalam pada itu, Ismail berkata, pihaknya merayu kerjasama ibu bapa supaya mendapatkan vaksinasi untuk anak-anak berkeperluan khas.
“Difahamkan, masih terdapat ibu bapa yang bimbang untuk membenarkan anak istimewa ini mendapatkan vaksinasi sebelum hadir ke sekolah.
“Mereka perlu memahami situasi pandemik Covid-19 ketika ini demi kesihatan dan keselamatan anak-anak apabila sesi persekolahan secara bersemuka bermula,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE