JERANTUT: Peniaga apam balik, Robiatul Adawiyah Mohamad, 39, mampu menarik nafas lega apabila perniagaannya itu kembali pulih setelah pelanggan dibenarkan makan di premisnya.
Kehidupan keluarga itu sebelum ini tertekan apabila premis tersebut diarah ditutup ketika Covid-19 menular bulan Mei lalu malah kampung terbabit pernah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama dua minggu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Robiatul Adawiyah berkata, dia dan suami, Mohd. Shahrifuan Mohamad mengalami tekanan selepas pendapatan terjejas akibat penutupan kedai makan dan kemudiannya cuma dibenarkan menjual makanan secara pandu lalu
Bagaimanapun hasil jualan hanya dapat menampung pulangan modal tetapi masih terbeban untuk belanja menyara kebajikan keluarga.
“Hal ini kerana penduduk kampung ini tidaklah begitu ramai untuk berbelanja selain tidak dapat keluar kerana berwaspada dengan penularan Covid-19. Pengunjung luar pula tidak dapat datang melawat ke Hulu Tembeling berikutan sekatan rentas daerah,” katanya di Kampung Pagi, Hulu Tembeling di sini semalam.
Ibu kepada lima orang anak berusia antara tujuh hingga 13 tahun itu berkata, pada ketika ini, dia tidak lagi berasa tertekan selepas kerajaan membenarkan pelanggan makan di kedai termasuk setiap hari ramai pengunjung luar yang melawat ke kampung tradisional Hulu Tembeling singgah di premis itu.
Robiatul Adawiyah yang mula berniaga pada 2018 menambah, dia menerima bantuan kewangan program keusahawanan daripada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) Pahang sebanyak RM10,000 untuk membina kedai, membeli peralatan memasak apam balik, waffle, peti ais, alat menggoreng ayam dan beberapa perkakasan dapur yang lain.
“Saya bersyukur bantuan ini telah mengubah kehidupan keluarga yang sebelum ini sangat susah sejak usia remaja dan pendapatan yang diperoleh setiap hari dijadikan modal menyediakan juadah berasaskan ikan sungai, sayur kampung dan juga mengambil tempahan penduduk bagi kenduri-kendara dan jamuan peringkat kampung,” katanya.
Robiatul Adawiyah berkata, dia mempelajari kemahiran dan pengalaman berniaga khususnya memasak lauk-pauk tempatan, membuat apam balik dan waffle sewaktu bekerja sebagai pembantu di sebuah restoran di Taman Negara Kuala Tahan sebelum ini.
“Apapun saya utamakan disiplin pengurusan masa ketika berniaga dengan bermula pada sebelah malam menyediakan keperluan masakan dan kedai dibuka pukul 7 pagi untuk keselesaan pelanggan.
Pelanggan merupakan penduduk di sini, bersarapan sebelum mereka bekerja menangkap ikan Sungai Tembeling, menoreh getah, kebun sawit dan pengunjung yang singgah menjelang tengah hari,” katanya.
Katanya, pendapatan hariannya cuma antara RM200 hingga RM300 hanya mampu sebagai modal serta menampung pendapatan suaminya, Mohd. Shahrifuan, 44, cuma bekerja kampung serta upah yang diterima tidak menentu.
“Sewaktu penguatkuasaan PKP sebelum ini, saya pernah memperoleh RM50 sehari, tetapi saya reda dengan ujian Allah SWT malah bersyukur kerana perniagaan makanan ini mula mendapat perhatian pelanggan sejak kedai ini dibenarkan makan di dalam premis.
“Saya berterima kasih kepada Risda Pahang yang membantu kewangan membina kedai ini, membeli peralatan berniaga dan juga sambil berharap pandemik Covid-19 segera pulih supaya kawasan pelancongan di Hulu Tembeling dilawati pengunjung dan peniaga di sini serta tempat lain mampu bernafas semula,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE