LUMUT: Kenderaan yang banyak dan sesak diletakkan di sekitar Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Merdeka, Seri Manjung di sini menimbulkan rasa tidak puas hati penduduk yang tinggal di taman-taman perumahan berhampiran.
Perkara itu dinyatakan oleh penduduk dalam Facebook yang mempertikai kaedah pengurusan trafik di situ sehingga ada yang meletak kenderaan di kawasan perumahan Taman Fasa 1E sehingga menyukarkan penduduk keluar masuk.
Seorang penduduk, Syed Faris Fakhrul mengakui tertekan melihat keadaan kenderaan yang tidak diparkir dengan betul.
“Saya syorkan yang mana nak ambil vaksin amalkan suasana Jepun naik basikal dari rumah. Amalkan hidup sihat,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Hantaran itu menerima balasan daripada ramai netizen yang rata-ratanya menyokong kenyataan itu.
Antaranya, Nassier Razak dalam balasannya mengatakan tidak mungkin penduduk mahu parkir jauh dari tempat dituju kerana memang tabiat rakyat Malaysia kalau boleh mahu parkir sebelah pintu masuk.
Tinjauan hari ini mendapati masih banyak kenderaan diparkir di kawasan perumahan tersebut walaupun laluan dari taman itu ke Dewan Merdeka ditutup dengan penghadang, kerana pengguna masih boleh masuk menerusi laluan lain ke situ.
Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Manjung (MPM), Syamsul Hazeman Md. Salleh berkata, walaupun operasi PPV bukan di bawah MPM, pihaknya mengambil berat isu tersebut serta memantaunya kerana Dewan Merdeka adalah milik MPM.
Menurutnya, tidak dinafikan berlaku sedikit kesesakan tetapi isu menghalang pintu pagar kediaman mungkin kes terpencil.
“Kita sudah minta kerjasama pasukan RELA dan orang awam sendiri perlu ada kesedaran sivik juga, jangan meletak kenderaan depan pagar rumah orang, kita juga sudah minta pihak polis untuk bantu meronda kawasan berkenaan
“Kita ada membuka kawasan parkir di Stadium MPM, tetapi orang ramai tidak mahu ke sana atas alasan jauh untuk berjalan kaki,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE