SUNGAI PETANI: Seorang pelajar, Muhammad Amirul Haiqal Mohamad Shahizan, 13, menanggung derita apabila menghidap bengkak lendir pada muka dan leher sejak berusia lima tahun.
Muhammad Amirul Haiqal dari Kampung Sungai Badak, Gurun di sini juga tidak dapat berkomunikasi dengan baik akibat penyakit yang dihidapi itu.
Ibunya, Noor Azila Abd. Rahim, 36, berkata, dia sedih apabila melihat darah
yang sentiasa keluar dari lubang yang ditebuk di bahagian leher anaknya.
Malah, katanya, sebahagian lidah Muhammad Amirul Haiqal yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gurun di sini juga terpaksa dipotong kira-kira lima tahun lalu.
“Saya terpaksa berulang-alik ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk menemui pakar kanak-kanak, pakar gigi serta pakar hidung, tekak dan telinga,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Selain itu, Noor Azila memberitahu, Muhammad Amirul Haiqal juga selalu mengalami demam, selsema dan batuk-batuk.
“Sebagai seorang ibu, saya sentiasa memberi perhatian terhadap penyakit yang dihidapi Muhammad Amirul Haiqal, disamping menjaga empat orang anak lain berusia lapan bulan hingga 12 tahun,” katanya lagi
Noor Azila berkata, suaminya, Muhamad Shahizan Muhammad Shafie, 36, pula bekerja di sebuah pasar raya di pekan Gurun di sini.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan kepada Muhammad Amirul Haiqal boleh hubungi di talian 019-8669832 atau melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) nombor akaun 0200641100012794 milik Noor Azila. -UTUSAN ONLINE