Agensi umrah buntu gara-gara dos ketiga vaksin Covid-19 - Utusan Malaysia

Agensi umrah buntu gara-gara dos ketiga vaksin Covid-19

HARUN KC AHMMU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Agensi pelancongan umrah bimbang ramai dalam kalangan jemaah di bawah seliaan masing-masing terpaksa membatalkan tempahan kerana keliru dengan dasar suntikan vaksin Sinovac yang tidak dibenarkan masuk ke negara Arab Saudi.

Hal itu ekoran Arab Saudi ketika ini hanya membenarkan individu yang mengambil suntikan vaksin berkenaan dengan syarat mesti mendapatkan dos penggalak seperti yang ditetapkan kerajaan negara berkenaan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra), Harun KC Ahmu berkata, kerajaan Malaysia diharap tampil dengan keputusan jelas mengenai suntikan dos ketiga bagi memastikan proses umrah berjalan lancar.

Katanya, pemberian dos tersebut amat penting kerana sebilangan besar jemaah di bawah pengurusannya menerima suntikan vaksin Sinovac namun untuk melaksanakan umrah terpaksa ditangguh akibat syarat ketat oleh Arab Saudi.

“Dengan dos ketiga ini dapat membantu para jemaah yang sebelum ini tertangguh dapat meneruskan perjalanan umrah sekaligus menyelesaikan isu-isu tuntutan kerana sebahagian syarikat umrah memang sudah melunaskan bayaran kepada kerajaan di sana.

“Sebahagian daripada agensi pelancongan sudah membayar penginapan hotel sebelum pandemik melanda lagi, tetapi bila masalah ini berlaku, empunya hotel terkesan dan tidak dapat mengembalikan wang yang telah dibayar.

“Apabila kerajaan sudah membantu jemaah tempatan dengan pemberian dos vaksin ini, jemaah umrah boleh pergi tanpa halangan dan beban agensi umrah juga berkurang setelah isu tuntutan sudah diselesaikan,” katanya ketika dihubungi semalam.

12 Oktober lalu, kerajaan Arab Saudi dilaporkan membenarkan individu yang menerima suntikan vaksin Sinovac menunaikan umrah tetapi mesti mendapatkan dos ketiga vaksin Covid-19.

Negara berkenaan ketika ini dilaporkan tidak memerlukan dos penggalak bagi penerima vaksin keluaran Pfizer-BioNTech dan AstraZeneca.

Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (Papuh) Datuk Seri Razali Mohd pula berkata, kerajaan seharusnya mempermudahkan urusan umrah dalam pemerolehan dos ketiga vaksin Covid-19.

Katanya, kelonggaran mesti diberikan kepada jemaah umrah untuk mendapatkan dos ketiga lebih cepat sekalipun ia menuntut kepada pembayaran.

Walaupun masih belum berdepan masalah pembatalan tempahan, walau bagaimanapun, kata Razali, kerajaan wajar mempercepatkan proses dos ketiga tanpa perlu mengambil masa enam bulan selepas lengkap kedua-dua dos vaksin Covid-19.

“Sekarang ini kita terpaksa menunggu masa yang lama iaitu enam bulan, kalau Arab Saudi sudah tetapkan dos penggalak, kerajaan mesti beri kelonggaran untuk dapatkan cepat vaksin, dengan syarat buat bayaran,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya