SEREMBAN: Sebanyak 37 kes tipu sewa rumah telah dilaporkan kepada pihak polis di negeri ini sejak bulan Januari 2021 sehingga 21 Oktober lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Superintenden Aibee Ab. Ghani berkata, kes-kes tersebut melibatkan kerugian keseluruhan sebanyak RM54,175.
“Daripada jumlah kes tersebut, sebanyak 28 kes dilaporkan di Seremban manakala selebihnya empat kes di Nilai, masing-masing dua kes di Port Dickson dan Jempol manakala baki satu kes di Tampin.
“Setakat ini, tiga daripada kes itu kini dalam arahan kemas untuk simpan (KUS) sementara untuk menunggu tangkapan atau maklumat lanjut dan satu kes tiada tindakan lanjut (NFA) manakala tiada kes dibawa untuk pertuduhan di mahkamah,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Sementara itu, Aibee menasihatkan orang ramai yang ingin sedang mencari rumah sewa supaya lebih berhati-hati dan menggunakan platform yang betul dan boleh dipercayai bagi mengelakkan diri mereka tertipu.
“Memang kebiasaannya scammer ini akan terlebih dahulu mempromosikan rumah sewa tersebut di laman-laman web dan media sosial seterusnya sesiapa yang ingin menyewa perlu membuat pembayaran terlebih dahulu.
“Selalunya selepas mangsa pergi ke rumah tersebut, memang didapati rumah itu telah didiami oleh orang lain malah pemilik rumah itu juga tidak mengetahui rumah tersebut dijadikan sasaran scammer,” katanya lagi.
mughsot:
AIBEE AB. GHANI