Jual kit RTK mahal, 34 kertas siasatan dibuka - Utusan Malaysia

Jual kit RTK mahal, 34 kertas siasatan dibuka

KIT ujian Covid-19 menggunakan sampel air liur dijual di pasaran. -AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU: Sebanyak 34 kertas siasatan dibuka terhadap peniaga dan pengusaha farmasi yang dikesan menjual kit ujian pantas (RTK) antigen secara kendiri melebihi harga kawalan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, tindakan diambil berdasarkan 1,871 pemeriksaan yang dijalankan di seluruh negara sejak 5 September lalu.

Menurut beliau, kesalahan tertinggi dikesan di Lembah Klang, Johor dan Pulau Pinang dengan satu daripadanya sudah dikenakan kompaun RM250.

“Kesalahan ini masih terkawal   dan pemeriksaan mendapati sebanyak 1,552 premis menjual mengikut harga kawalan manakala 185 lagi memasarkan kit berkenaan di bawah harga kawalan,” kata beliau selepas melawat pusat pemberian vaksin (PPV) Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Timur di sini hari ini. 

Dalam perkembangan lain, Rosol berkata, pihaknya bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan bagi mengeluarkan ikan segar yang dibekukan menggunakan teknologi pembekuan pantas individu (IQF) iaitu QFish di pasaran. 

Katanya, QFish adalah antara usaha kerajaan dalam menstabilkan harga dan bekalan ikan negara selain  mengurangkan kos sara hidup rakyat.

“Kita mengambil perhatian mengenai aduan kenaikan harga ikan di pasaran bukan sahaja di Terengganu malah seluruh negara dan penjualan QFish di bawah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) adalah jalan penyelesaian untuk tidak membebankan pengguna,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN