fbpx

22 Oktober 2021, 11:26 am

  TERKINI

Aktiviti perlombongan pasir cemar punca air

ROSLELI Jahari menunjukkan keadaan air sungai Lok Heng-Waha yang keruh dan mengalir ke LRA Gugusan Lok Heng yang menjadi punca air utama penduduk di Felda Lok Heng, Kota Tinggi di Johor. -UTUSAN/MASTURAH SURADI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Penduduk di Felda Lok Heng, di sini bimbang pencemaran air dipercayai akibat aktiviti perlombongan pasir dikhuatiri boleh menjejaskan Loji Rawatan Air (LRA) Gugusan Lok Heng yang menjadi punca sumber air utama penduduk di kawasan berkenaan.

Penduduk, Mohd. Shahrudin Isa, 40, berkata, keadaan itu mula disedari sejak dua minggu lalu apabila warna air di sungai Lok Heng-Waha yang mengalirkan air ke LRA tersebut mula berubah menjadi keruh.

Katanya, keadaan itu amat membimbangkan mereka kerana sungai berkenaan satu-satunya sumber dan punca air digunakan penduduk untuk memasak serta melakukan aktiviti harian.

“Kawasan sungai ini memang menjadi lokasi kami memancing. Sejak dari kecil saya memancing di sekitar sungai ini jadi bila berlaku perubahan pada air memang kita tahu ada sesuatu yang tidak kena.

“Ia bukan kesan kerbau yang bermain air di dalam sungai kerana kesan keruh itu berterusan dari hari ke hari.

“Apa yang membimbangkan adalah air tersebut mengalir ke loji utama untuk kami penduduk gunakan. Saya risau jika keadaan air itu akan memberi kesan ke atas kesihatan. Sudahlah kita sedang berdepan Covid-19 tidak mahu sakit lain pula datang selepas ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Lama, Rosleli Jahari berkata, beliau maklum dengan perkara itu dan telah membawa isu itu kepada pihak berkaitan sebelum dimaklumkan keadaan itu terjadi susulan salah satu empangan di lombong pasir pecah.

Jelasnya, beliau juga dimaklumkan pihak pentadbir tanah daerah bahawa notis penutupan sementara aktiviti perlombongan pasir berkenaan dikeluarkan sehingga selesai siasatan punca air keruh yang mengalir ke kawasan sungai Gugusan Lok Heng.

“Saya diberitahu juga kerja-kerja pembaikan telah dilakukan, bagaimanapun kita amat kecewa kerana keadaan masih sama pada hari ini apabila air di sungai dari Waha masih dalam keadaan keruh.

“Selaku wakil rakyat saya akan meminta kerajaan Johor walaupun selepas pembaikan dilakukan, projek ini mestilah ditutup sehingga projek bekalan air bersih di Gugusan Lok Heng dan Waha diatasi.

“Kita harap pengekalan tanah berstatus Akta Penempatan Berkelompok (GSA) yang diadakan oleh kerajaan janganlah dicabuli dengan menukar kepada selain dari penanaman getah, kelapa sawit, berlandaskan pertanian dan bukannya perlombongan dan pembangunan,” katanya.

Beliau juga berharap agar tiada pihak yang mengambil kesempatan dan meraih keuntungan terhadap tanah Felda yang diwariskan kepada generasi akan datang, tanpa mengira kerosakan alam sekitar khasnya pencemaran air dan sebagainya.- UTUSAN ONLINE

 

 

POPULAR

KOSMO! TERKINI