Ibu tunggal pinjam wang kerana terdesak - Utusan Malaysia

Ibu tunggal pinjam wang kerana terdesak

HAMIDAH Nagor Gany melihat tanaman yang diusahakannya di rumahnya di Taman Sri Bidor di Bidor, Perak. -UTUSAN/ ASLIZA MUSA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Desakan hidup yang dihimpit beban kewangan ekoran tiada pekerjaan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan Mac tahun lalu, menyebabkan seorang ibu tunggal terpaksa mengambil jalan pintas dengan meminjam dari premis pinjaman wang berlesen.

Hamidah Nagor Gany, 37, berkata, dalam keadaan terdesak, dia mengakui buntu dan tidak mempunyai pilihan lain sedangkan bayaran sewa rumah perlu dilunaskan segera selain membayar bil utiliti dan membeli barangan dapur.

Katanya, pinjaman pertamanya berjumlah RM500 sebelum ditambah lagi menjadikan jumlah keseluruhan wang yang dipinjam sebanyak RM2,000.

“Saya tiada pilihan lain, saya terpaksa cagarkan kad bank yang mengandungi wang pencen penakat suami berjumlah RM237.67 untuk meminjam wang dan setakat ini, sudah empat kali saya meminjam daripada mereka.

“Wang yang dipinjam itu saya gunakan untuk bayar sewa rumah, beli barang makanan dan membayar bil-bil tertunggak,” katanya ketika ditemui di rumah ibunya di Taman Sri Bidor di sini hari ini.

Menurut ibu kepada dua anak berusia 19 dan enam tahun itu, sebelum ini dia bekerja di kebun sayur dengan gaji harian RM20 namun sejak PKP, majikan terpaksa menjual kebun tersebut kerana tidak mampu menanggung kerugian.

Katanya, sejak itu mereka tiga beranak hidup dalam kesusahan hingga hampir dihalau pemilik rumah kerana tidak mampu membayar sewa bulanan berjumlah RM250 selain bil elekterik yang mencecah RM1,782.

“Disebabkan tiada duit, kami datang ke rumah emak untuk menumpang makan kerana di rumah sendiri memang tiada apa-apa yang boleh dimasak.

“Tapi, emak pun bukannya senang, dia pun mengharapkan pencen penakat berjumlah RM520. Itu pun selepas ditolak bayaran sewa rumah, hanya berapa sahaja yang tinggal,” katanya.

Hamidah berkata, bagi menambah pendapatan, dia ada mengusahakan tanaman kecil-kecilan di tanah kosong di rumahnya dan hasil tanaman seperti cili, jagung, bendi dan kacang panjang yang dijual untuk membeli barangan dapur.

Katanya, dia bersyukur kerana komuniti setempat termasuk jiran terdekat sangat baik dan sering menghulurkan bantuan termasuk memberi makanan kepada mereka sekeluarga.

“Kalau ada bantuan, kami dapatlah makan sedap-sedap tetapi jika terputus bekalan kami hanya isi perut dengan nasi bersama garam, bawang dan cili.

“Pernah juga beberapa kali, saya dan adik ipar ambil ubi keledek di kebun orang untuk dijadikan makan malam,” katanya.

Tambah Hamidah, dia berharap dapat bekerja semula bagi membolehkannya melangsaikan hutang yang dipinjam di mana dia kini membayar ‘bunga’ pinjaman sebanyak RM200 sebulan.

“Mereka akan potong RM200 daripada wang pencen penakat itu dan sehingga kini pinjaman asal RM2,000 memang tidak berkurang sedikit pun,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Hamidah di talian 017-5702246 atau sumbangan ke akaun Maybank 158109241625 atas nama Hamidah Binti Nagor Gany. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya