Atlet terjejas Covid-19 maklum pada KBS - Utusan Malaysia

Atlet terjejas Covid-19 maklum pada KBS

WAN Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (kiri) menyampaikan sumbangan kepada petugas PPV Dewan Dato' Zainal Abidin Zin di Bagan Serai hari ini. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN SERAI: Atlet yang mengalami kesusahan hidup disebabkan pandemik Covid-19 tidak perlu mengibarkan bendera putih sebaliknya mereka diminta terus memaklumkan masalah kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, pihaknya sentiasa menjaga kebajikan atlet menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) dan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb).

Menurutnya, mana-mana atlet yang terkesan Covid-19 sudah pasti akan dibantu.

“Kalau ada apa-apa yang diperlukan sama ada bantuan bakul makanan atau yang melibatkan masalah kesihatan, kita akan bantu.

“Buat masa ini, saya tak dengar lagi apa-apa masalah. Kempen bendera putih ini bagus, cuma, kita tak perlukan bendera putih untuk bantu atlet,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Dato’ Zainal Abidin Zin di sini hari ini.

Sementara itu, mengenai sukarelawan Malaysia Vaccine Support Volunteers (MyVac), Wan Ahmad Fayhsal berkata, sebanyak 6,000 permohonan telah diterima di Perak.

Katanya, bagaimanapun hanya 300 sahaja diambil untuk mengisi penempatan yang ditetapkan di seluruh negeri ini.

“Jumlah permohonan di Perak ini agak memberangsangkan, tetapi, penempatan sukarelawan yang diperlukan hanya 300 orang di seluruh Perak.

“Keperluan itu amat bergantung kepada belanjawan, kalau Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) ada peruntukan untuk sukarelawan, kita boleh tambah lagi penempatan baharu,” katanya.

Katanya, di seluruh negara pula, terdapat 105,000 sukarelawan MyVac yang berdaftar, namun, hanya 5,000 sahaja yang akan diambil untuk bertugas di PPV ditetapkan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN