JELEBU: Tiada sebab lain melainkan hanya mahu bebas keluar mencari rezeki tanpa rasa bimbang dijangkiti Covid-19.
Itu pengakuan antara masyarakat orang Asli yang ditemui ketika mereka menerima suntikan vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan D’sury, Kuala Klawang dekat sini hari ini.
Jelas Pengerusi Persatuan Batin-Batin Daerah Jelebu, Awang Lijon, 66, kehidupan kebanyakan orang Asli yang disifatkannya sebagai tiada pendapatan tetap itu, selalu mendedahkan mereka kepada pelbagai risiko.
“Saya memang tidak sabar untuk tunggu tarikh hari ini bagi menerima vaksin. Kami sudah bersedia untuk menyahut seruan diberikan oleh pihak kerajaan kerana kami mahu hidup bebas.
“Disebabkan kami kais makan pagi, kais petang makan petang, jadi, kami perlu keluar mencari rezeki, jika tidak ambil vaksin kami terdedah dengan virus ini. Saya juga datang hari ini bagi menaikkan semangat anak buah saya yang lain untuk mengambil vaksin,” katanya.
Dia yang dari Kampung Orang Asli Putra dekat sini berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Program Imunisasi Covid-19 Kepada Ketua Masyarakat Orang Asli Daerah Jelebu di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang, Noor Azmi Yusof.
Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Kampung Orang Asli Putra, Eddy Aboi pula mengakui takut untuk menerima suntikan vaksin tersebut, namun, mengubah fikiran kerana berasakan terdapat keperluan untuk mendapatkan vaksin tersebut.
“Jika diikutkan memang ada perasaan takut, namun, saya datang juga hari ini untuk mendapatkan vaksin kerana perlu ada vaksin untuk mencegah penularan Covid-19.
“Saya tidak lagi rasa gementar, malah, rasa bertuah pula kerana dapat pengalaman baharu dan awal menerima vaksin ini,” katanya lagi.
Sementara itu, pegawai Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Daerah Jelebu, Mohamad Fauzi Ali berkata, program khas ini melibatkan Tok Batin dan Pengerusi JPKKOA di daerah Jelebu.
“Seramai 43 orang terlibat termasuk Tok Batin dan Pengerusi JPKKOA yang meliputi 13 kampung di daerah Jelebu. Kami mahu menjadikan mereka duta supaya dapat menarik orang Asli yang lain untuk mengambil vaksin,” katanya. -UTUSAN ONLINE