3,500 individu terima bantuan Zakat Selangor Peduli - Utusan Malaysia

3,500 individu terima bantuan Zakat Selangor Peduli

SAIPOLYAZAN (kiri) memberikan sumbangan beras kepada seorang asnaf, Hashim Isa (dua dari kanan) di Flat Taman Alam Megah, Shah Alam, Selangor hari ini - UTUSAN / MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seramai 3,500 individu yang terkesan dengan wabak pandemik Covid-19 seperti kehilangan pekerjaan dan mengalami pengurangan pendapatan dibantu oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) sejak awal bulan ini menerusi Program Zakat Selangor Peduli.

Sebanyak RM69.3 juta peruntukan disediakan untuk menyediakan pelbagai bentuk bantuan kepada golongan sedemikian termasuklah sumbangan makanan serta bantuan modal perniagaan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) LZS, Saipolyazan Mat Yusop berkata, selain penerima berkenaan, pihaknya masih menerima lebih 10,000 permohonan dalam program berkenaan dan sedang menelitinya.

“Bantuan yang kita berikan melalui program Zakat Selangor Peduli diberikan secara one-off merangkumi bantuan modal perniagaan, individu terkesan, masjid terkesan dan lain-lain lagi.

“Kita juga dalam proses untuk meluluskan lebih 10,000 permohonan dalam program ini, namun, kami masih mengalu-alukan mana-mana individu terkesan supaya memohon bantuan melalui program ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Program Sumbangan Bakul Makanan dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di Masjid Al-Faizin di Seksyen 28, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Saipolyazan turut memaklumkan, LZS mengagihkan zakat sejumlah RM337.9 juta kepada golongan asnaf di Selangor pada tahun ini sehingga Mei lalu.

Beliau menambah, pihaknya turut bekerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor bagi mengenal pasti individu yang perlu dibantu oleh lembaga zakat.

“Pihak polis akan memaklum kepada kami individu yang amat memerlukan bantuan ketika ini.

“Kerjasama dengan pihak polis Selangor ini amat baik untuk mengelak pertindihan bantuan sekaligus kami dapat memberikan bantuan kepada pihak lain pula,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN