15,000 penduduk Wilayah Persekutuan dibantu - Utusan Malaysia

15,000 penduduk Wilayah Persekutuan dibantu

ANNUAR MUSA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 15,000 termasuk 3,853 keluarga miskin tegar di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya telah tersenarai sebagai penerima bantuan Jejak Prihatin.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa dalam satu kenyataan berkata, program berkenaan dilaksanakan secara berterusan dengan fasa pertama bermula pada 14 hingga 28 Julai 2021.

Katanya, program ini merupakan langkah proaktif bagi mencari golongan yang terkesan akibat pandemik Covid19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menerusi bantuan secara terus tanpa perlu melalui proses birokrasi.

“Hampir 4,000 orang sukarelawan ‘Prihatin Volunteer’ (PriVo), Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP), AJK surau, masjid dan pertubuhan bukan kerajaan ( NGO) akan digerakkan untuk menjejaki golongan miskin yang memerlukan bantuan makanan, kebajikan, kesihatan, termasuk kesihatan mental dan kerohanian dalam kalangan warga Wilayah Persekutuan.

“Sukarelawan Jejak Prihatin ini juga akan membantu menyampaikan maklumat dan membuat semakan mengenai inisiatif Prihatin Kasih, iaitu bantuan kepada golongan rentan bandar sebanyak RM100 sebulan yang diberikan oleh kerajaan terus kepada mereka melalui MyKad bermula Julai hingga September 2021,” katanya hari ini.

Dalam pada itu, Annuar berkata, program Jejak Prihatin ini akan diselaraskan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) selaku pelaksana.

“ Sumbangan dan bantuan daripada orang ramai, termasuk daripada organisasi korporat amat diperlukan bagi memastikan seramai mungkin warga Wilayah Persekutuan dapat dibantu secara berterusan.

“Bagi sumbangan berbentuk tunai kepada YWP, resit pelepasan cukai di bawah Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967 akan diberikan.Semoga melalui inisiatif Jejak Prihatin ini, tiada pihak yang ketinggalan dan setiap golongan miskin, miskin bandar dan yang memerlukan bantuan dalam WP dapat dibantu dengan segera sebelum keadaan mereka menjadi terlalu terdesak,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN