Vaksinasi di Gua Musang makin dapat sambutan - Utusan Malaysia

Vaksinasi di Gua Musang makin dapat sambutan

MOHAMAD Rafiq Mohd. Kasri (kiri) dan Mohd. Syahbuddin Hashim melihat pemberian suntikan vaksin kepada seorang penduduk di PPV Pusat Latihan Kesedar di Gua Musang, Kelantan. - UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di jajahan ini semakin mendapat sambutan menggalakkan apabila jumlah individu yang gagal hadir janji temu untuk menerima suntikan vaksin berkurangan.

Secara purata, kira-kira 300 hingga 400 individu menerima vaksin setiap hari dan Jabatan Kesihatan juga tidak berdepan masalah mencari pengganti kerana mereka sentiasa bersiap sedia dipanggil.

Pegawai Kesihatan Daerah Gua Musang, Dr. Mohamad Rafiq Mohd. Kasri berkata, setakat semalam, jumlah pendaftaran meningkat tinggi selepas dilakukan secara manual sepanjang minggu ini.

Kata beliau, setakat hari ini seramai 4,000 individu di daerah ini telah menerima vaksin masing-masing di dua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) iaitu di Pusat Latihan Kesedar Gua Musang dan Dewan Felda Chiku 5.

“Kebanyakan penerima adalahwarga emas hadir janji temu di PPV untuk menerima vaksin.

“Mereka yang gagal hadir untuk menerima vaksin kerana masalah kesihatan, kita segera gantikan dengan orang lain yang sudah pun bersedia mengikut senarai dikeluarkan,” katanya selepas meninjau PPV Pusat Latihan Kesedar, di sini hari ini. 

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim.

Sementara itu, Mohd. Syahbuddin pula berkata, pihaknya sentiasa turun padang membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KMM) bagi mendaftarkan seramai mungkin penerima vaksin. 

Katanya, Pusat Khidmat ADUN Galas mengadakan kempen pendaftaran suntikan melalui media sosial dan aplikasi WhatsApp untuk memujuk penduduk di luar bandar menerimanya.

“Selain membantu mendaftar nama penduduk, kami juga menyediakan pengangkutan kepada mereka yang tidak mempunyai kenderaan di kawasan Galas untuk ke PPV.

“Kami berharap lebih ramai penduduk mendaftar vaksin dan membantu negara mencapai imuniti kelompok,” katanya – UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya