Teksi percuma ke PPV bantu pemandu raih pendapatan - Utusan Malaysia

Teksi percuma ke PPV bantu pemandu raih pendapatan

PENDUDUK Orang Asli, Rosina Bah Uda menaiki teksi percuma yang disediakan oleh ADUN Bota untuk ke PPV di Seri Iskandar, Parit hari ini. - UTUSAN/MOHAMAD HAFIZI MOHD. SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT: Perkhidmatan teksi secara percuma untuk ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Seri Iskandar dekat sini yang disediakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota, Khairul Shahril Mohamed memberi peluang kepada pemandu teksi meraih pendapatan.

Pengerusi Persatuan Pengusaha dan Pemandu Teksi Bandar Seri Iskandar, Idris Mohd Sidek berkata, pemandu teksi di Perak Tengah amat terjejas dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, menyebabkan tiada penumpang.

“Apabila wakil rakyat di sini memberitahu mahu membantu kami dengan membawa penduduk yang menerima vaksin ke PPV, saya rasa amat bersyukur.

“Sekurang-kurangnya kami ada pendapatan,” katanya ketika ditemui pemberita di PPV Dewan Serbaguna Seri Iskandar, di sini, hari ini.

Menurutnya, sebelum ini dia dan pemandu teksi lain memperoleh pendapatan dengan mengambil dan menghantar pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT) sekitar Seri Iskandar.

Katanya, disebabkan PKP, tiada lagi pelajar menggunakan perkhidmatan mereka.

“Keadaan itu membebankan kami kerana ada yang menanggung anak sekolah serta ibu bapa,” katanya.

Menurut Idris, setakat ini, empat orang pemandu teksi terlibat dalam memberikan perkhidmatan membawa penduduk kampung yang terdiri daripada warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) yang tidak mempunyai kenderaan ke PPV.

“Perkhidmatan ini melibatkan beberapa kampung antaranya Teluk Kepayang dan juga Kampung Orang Asli Tembuh Hangat di mana kami mengambil dan menghantar mereka yang terlibat,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Khas ADUN Bota, Mior Zarif Azman Mior Moktar berkata, program teksi percuma itu dimulakan sejak minggu lalu.

Katanya, ia merupakan inisiatif Khairul Shahril untuk membantu pengusaha teksi yang terjejas akibat PKP 3.0 dan pada masa sama membantu orang ramai di DUN Bota yang tidak mempunyai kenderaan untuk ke PPV dan menerima vaksin.

“Pihak pusat khidmat membayar antara RM20 hingga RM100 kepada pemandu teksi mengikut jarak perjalanan antara rumah penerima dan PPV bagi perjalanan pergi dan balik,” katanya.

Sementara itu, ibu tunggal Rosina Bah Uda, 51, dari Kampung Orang Asli, Tembuh Hangat, Parit, berkata, perkhidmatan teksi percuma itu memudahkan dia untuk ke PPV yang jaraknya antara 10 hingga 15 kilometer.

“Saya tak perlu risau kalau hujan kerana sebelum ini semasa dos pertama vaksin pada 6 Jun lalu saya menaiki motosikal dengan kawan, risau jika pening selepas menerima vaksin,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN