Gerakan antivaksin ancaman baharu Covid-19 - Utusan Malaysia

Gerakan antivaksin ancaman baharu Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia bimbang dengan  gerakan antivaksin yang menyebarkan informasi salah berhubung vaksin Covid-19 sehingga mencetus ketakutan global.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, walaupun ada perkembangan positif dalam pembangunan vaksin dengan beberapa syarikat memberikan hasil positif sehingga menjadi tumpuan utama dunia, namun, pihak tidak bertanggungjawab itu cuba memberi fakta salah melalui akaun palsu di media sosial.

Beliau berkata, motif utama kempen itu untuk menyesatkan dan merosakkan kepercayaan terhadap keperluan perubatan dalam pandemik ini yang akhirnya memanjangkan lagi wabak tersebut.

“Maklumat salah boleh mengorbankan nyawa, terutamanya ketika kita sedang menyiapkan rancangan vaksinasi nasional untuk rakyat. Kesedaran masyarakat mengenai perlunya vaksinasi sangat penting untuk mencegah  ketakutan dan perpecahan akibat wabak ini.

“Propaganda antivaksin  bukanlah perkara baharu, dan hanya menjadi penyebab masalah lebih besar berlaku sekali gus menghakis kepercayaan kepada pihak berkuasa dan pakar serta penolakan sains,” katanya.

Beliau berkara demikian ketika berucap pada Sesi Khas ke-31 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGASS ke-31) mengenai wabak Covid-19 secara maya di sini hari ini. 

Hishammuddin seterusnya berkata, propaganda antivaksin mesti ditangani secara menyeluruh.

Ini kerana katanya, jika puak-puak berbahaya itu dibiarkan terus menyebarkan dakyah menentang vaksin, ia boleh mempengaruhi orang ramai dan mampu mengancam jutaan nyawa orang lain lagi.

Beliau berkata, sebagaimana Covid-19 yang memeperlihatkan ‘dirinya’ sebagai musuh yang tidak dapat dikalahkan, pengaruh salah maklumat itu juga berbahaya kerana ia boleh mematahkan kemajuan yang dicapai.

“Malaysia tetap komited untuk bekerjasama dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)dan semua negara anggotanya. 

“Multilateralisme mesti terus berlaku walaupun masih banyak yang tidak sempurna, namun demi kepentingan sejagat usaha bersama penting  untuk kepentingan semua,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya