PETALING JAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyerbu sebuah rumah di Putrajaya kelmarin yang menyimpan 78 kotak minyak masak paket bersubsidi bernilai lebih RM5,000.
Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, serbuan dilakukan melalui Op Gasak selepas premis terbabit disyaki menjalankan aktiviti penyimpanan minyak masak bersubsidi bagi tujuan urus niaga tanpa lesen yang sah.
“Tindakan dijalankan hasil aduan berhubung kegiatan penyimpanan barang kawalan secara tidak sah di sebuah rumah dua tingkat.
“Semasa serbuan dijalankan, pasukan penguatkuasa KPDN mendapati premis berkenaan berada dalam keadaan tidak berpagar dan tiada individu berada di lokasi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Katanya, pemeriksaan lanjut telah dijalankan di sekitar premis sebelum pasukan penguatkuasa membuat semakan ke atas sebuah kenderaan yang berada di laman premis itu.
Hasil pemeriksaan mendapati sebanyak 78 kotak minyak masak peket ditemui di premis itu dengan setiap kotak mengandungi 17 peket bersaiz satu kilogram.
“Jumlah keseluruhan minyak masak yang disimpan di premis itu dianggarkan sebanyak 1,326 kilogram,” jelasnya.
Sehubungan itu, katanya, kesemua minyak masak peket berkenaan disita kerana dipercayai disimpan dengan niat untuk menjalankan urus niaga barang kawalan tanpa kebenaran daripada Pengawal Bekalan.
“Anggaran nilai keseluruhan sitaan sebanyak RM5,569.20,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, seorang lelaki tempatan hadir ke lokasi dan mengaku anak kepada pemilik premis terbabit.
“Kenyataan pemeriksaan premis serta akuan sitaan dikeluarkan kepada individu berkenaan untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, iaitu kesalahan memiliki barang kawalan dengan niat untuk menjalankan urusniaga tanpa lesen yang sah daripada Pengawal Bekalan,” katanya. – UTUSAN










