KLANG: Tindakan berjumpa dengan isteri muda di Medan, Indonesia tanpa pengetahuan isteri pertama mengundang padah apabila ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor, semalam.
Lelaki yang bekerja sebagai pemandu lori itu didapati pergi ke negara jiran melalui laluan tidak sah empat hari lalu, tetapi telah ditahan di perairan berhampiran Bagan Nakhoda Omar, Sabak Bernam ketika dalam perjalanan pulang.
Bapa kepada empat orang anak itu berkata, dia terpaksa pergi ke seberang dengan cara demikian kerana pasportnya disimpan oleh isteri pertama dekat rumahnya di Perak.
“Memang isteri pertama tak tahu, kalau tahu matilah saya. Ini pun kali pertama saya ke sana melalui lauan yang tidak sah. Saya terpaksa kerana isteri kedua saya itu sedang hamil lima bulan.
“Saya pergi ke sana pada Khamis lalu dan berada di sana selama empat hari. Saya menikahi isteri muda di sana hampir setahun lalu,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Lelaki berusia 46 tahun itu ditahan pada tengah malam semalam bersama 27 individu seorang lagi warga tempatan berusia 49 tahun serta seorang tekong warga Myanmar ketika sedang menaiki bot fiber.
Pengarah Maritim Malaysia Selangor, Kapten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, mereka termasuk 26 pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Indonesia itu ditahan pada pukul 12.30 tengah malam pada kedudukan 1.5 batu nautika barat daya Bagan Nakhoda Omar, Sabak Bernam.
Menurutnya, 26 PATI itu terdiri daripada 17 lelaki dan sembilan wanita serta seorang kanak-kanak berusia lima tahun.
Justeru, mereka disiasat di bawah Akta Imigresen 1953/63 kerana masuk dan keluar negara melalui jalan tidak diwartakan serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) kerana membawa masuk PATI.
Lelaki yang ditahan itu berkata lagi, ketika pulang dia membayar RM1,100 kepada tekong bot dan memulakan perjalanan pada waktu petang sebelum ditahan pada sebelah malam di tengah laut.
“Saya tak tahu tentang sindiket, tetapi isteri kedua saya yang beritahu supaya hubungi rakannya untuk menaiki bot ‘menyeberangi’ laut supaya dapat bertemu dengannya.
“Dia beritahu, kenal rakannya itu sebab sebelum ini dia pernah menggunakan khidmat orang yang sama untuk membawanya keluar dan masuk ke negara ini,” ujarnya. – UTUSAN










