Tentera Darat gagalkan cubaan seludup dadah lebih RM10 juta

Tentera Darat gagalkan cubaan seludup dadah lebih RM10 juta

Rampasan dadah dengan nilai dianggarkan melebihi RM10 juta oleh Tentera Darat Malaysia (TDM). - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tentera Darat Malaysia (TDM) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup masuk dadah dari negara jiran dengan nilai keseluruhan dianggarkan melebihi RM10 juta.

Menurut kenyataan Sel Perhubungan Raya Tentera Darat, kejayaan itu dicapai melalui tindakan pantas kumpulan serbuan dan tangkapan (Serkap) 4 Rejimen Renjer Diraja (4 RRD) yang melaksanakan operasi di Zon Utara, di bawah kawasan tanggungjawab Briged ke-6 Infantri.

Katanya, kejayaan menyekat cubaan membawa masuk dadah bernilai RM10.923 juta itu sekali gus menjadikan rampasan tersebut sebagai rekod terbesar bagi tahun ini.

“Pada 9 Disember lalu, kira-kira jam 4.30 pagi, pasukan Serkap yang diketuai Kapten Muhammad Zulharif Abdul Rahim bersama lima anggota dari Platun 6, 4 RRD menahan seorang lelaki warga Thailand yang berada dalam keadaan mencurigakan di lokasi kira-kira 1.2 kilometer (km) dari Kem Sahara, Kuala Nerang, Kedah.

“Pemeriksaan terhadap suspek menemui beberapa peralatan termasuk sebuah walkie-talkie, sebilah parang, satu beg pinggang dan lampu suluh,” katanya hari ini.

Kenyataan tersebut berkata, susulan penahanan itu, pasukan Serkap menjalankan pemeriksaan lanjutan pada pukul 7 pagi, setelah keadaan cerah.

Katanya, hasil pemeriksaan menyeluruh di sepanjang laluan yang dipercayai digunakan suspek itu, pasukan terbabit menemukan sembilan guni berisi bungkusan kecil menyerupai paket beras, dipercayai dadah yang diseludup masuk dari negara jiran.

“Kejayaan tersebut membuktikan tahap kesiapsiagaan dan komitmen tinggi anggotanya dalam memastikan keselamatan sempadan negara terus terpelihara,” jelasnya.

Dalam pada itu, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan mengucapkan setinggi tahniah kepada pasukan Serkap 4 RRD atas kejayaan itu.

Beliau mengarahkan agar pasukan meningkatkan tahap kesiagaan serta mempergiatkan aktiviti rondaan secara berterusan di semua kawasan tanggungjawab di sepanjang sempadan negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN