22 syarikat dikompaun, pasang iklan haram

22 syarikat dikompaun, pasang iklan haram

NORAZLYN Ramli (tengah) bersama penguatkuasa Majlis Daerah Rembau menunjukkan pelekat yang telah ditampalkan pada papan iklan tanpa lesen hari ini. - UTUSAN/NOR SHAFIQAH MOHD GHAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Sebanyak 22 buah syarikat pengusaha iklan dikenakan kompaun kerana mempamerkan iklan visual tanpa lesen di bawah pentadbiran Majlis Daerah Rembau (MDR) sepanjang Lebuhraya Utara Selatan (Plus) di sini.

Setiausaha MDR, Norazlyn Ramli berkata, kesemua iklan terbabit melanggar Akta Jalan Parit dan Bangunan serta Undang-Undang Kecil (UUK) Iklan kerana dipamerkan tanpa lesen sah.

Menurut beliau, kesemua iklan terbabit melanggar Undang-Undang Kecil Iklan (Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Sembilan) 1992 kerana dipamerkan tanpa lesen yang sah.

“Sepanjang tempoh pemantauan, pihak kami telah menjalankan penilaian, semakan silang bersama pihak Plus Malaysia Bhd. serta turun padang, namun jumlah papan iklan tanpa lesen yang ditemui pada hari operasi amat mengejutkan.

“Papan iklan tanpa lesen ini muncul bagai cendawan tumbuh selepas hujan, termasuk papan iklan yang baharu yang sebelum ini tidak dikenal pasti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Operasi Bersepadu Berkenaan Struktur Paparan Iklan di Lebuhraya Utara-Selatan Dalam Kawasan Pentadbiran Majlis Daerah Rembau di sini hari ini.

Norazlyn berkata, sehubungan itu sebanyak 36 kompaun telah dikeluarkan pihaknya yang dikeluarkan namun hanya enam syarikat telah tampil melunaskan bayaran setakat ini.

“Rekod kami mendapati ada iklan yang telah dipamerkan tanpa lesen sehingga dua tahun, sekali gus menunjukkan sikap culas pengusaha yang lebih mengutamakan keuntungan berbanding pematuhan peraturan,” katanya.

Beliau berkata, kadar kompaun dikenakan sebanyak RM250 bagi setiap kes, manakala bayaran lesen minimum yang sepatutnya dilunaskan oleh pengusaha iklan adalah RM1,250 setahun.

Katanya, kebanyakan iklan tanpa lesen itu melibatkan produk kesihatan dan kosmetik, dipercayai dipamerkan tanpa melalui proses permohonan lesen dengan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Berkemungkinan terdapat pengiklan yang tidak menyedari status lesen kerana berurusan dengan pengusaha iklan yang menawarkan pakej tertentu.

“Namun, kegagalan melunaskan bayaran lesen tetap merupakan satu kesalahan dan tindakan akan diteruskan mengikut peruntukan undang-undang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN