PETALING JAYA: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) meneruskan tindakan tegas terhadap pemasangan iklan haram apabila menurunkan sebanyak 132 iklan tanpa kebenaran dalam operasi sekitar Jalan Syed Putra menghala ke Mid Valley, Kuala Lumpur kelmarin.
DBKL dalam kenyataan berkata, operasi yang digerakkan oleh Flying Squad DBKL itu turut membersihkan 97 tiang lampu awam yang dicemari gegantung (bunting), pelekat dan dawai iklan yang bukan sahaja mencacatkan pemandangan, malah membahayakan pekerja penyelenggaraan serta orang awam.
Menurut kenyataan itu, tindakan segelintir pihak yang menjadikan tiang lampu sebagai tempat menggantung iklan menyebabkan fungsi asal infrastruktur itu terganggu.
“Tiang lampu dibina untuk menerangi jalan raya, bukannya dijadikan ruang iklan. Pemasangan iklan haram bukan sahaja merosakkan imej Kuala Lumpur sebagai kota bertaraf dunia, tetapi dawai dan ikatan yang ditinggalkan boleh mendatangkan risiko kecederaan,” katanya.
DBKL menegaskan, pihaknya akan terus menjalankan pemantauan dan operasi berterusan bagi memastikan bandar raya ini bebas daripada unsur yang menjejaskan keindahan serta keselamatan awam.
“Bandar ini milik semua. Hormatilah ruang awam dan jangan rosakkan bandar demi keuntungan sendiri,” katanya. – UTUSAN









