KAJANG: Skuad Taktikal Khas (ACTS) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertindak sebagai barisan hadapan dalam menghadapi operasi berisiko tinggi seperti Op Karen dan Op Metal bagi melumpuhkan jenayah penyeludupan diesel serta penyeludupan besi buruk.
Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Saiful Ezral Arifin berkata, ACTS telah ditubuhkan SPRM dalam memperkukuh keupayaan operasi.
Menurutnya, ACTS telah menjalani latihan intensif di Kompleks Latihan Tempur Jarak Dekat (CQB) VAT 69 Komando Polis Diraja Malaysia (PDRM), Ulu Kinta di Perak pada Februari 2024.
“Skuad ini merupakan barisan hadapan dalam operasi berisiko tinggi yang menuntut ketahanan fizikal, disiplin mental serta kesediaan menghadapi sebarang bentuk ancaman.
“Antara operasi penting yang disertai pasukan ACTS termasuk Op Metal iaitu serbuan terhadap sindiket penyeludupan besi buruk dan bahan sampah elektronik (e-waste) di beberapa negeri selain Op Karen,” katanya dalam Program Menembak SPRM Bersama Media di Lapang Sasar Maktab Penjara Kajang di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengarah Bahagian Keselamatan SPRM, Zuhairie Abu Bakar dan Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik (BKS) SPRM, Hisyam Mohd Yusoff.
Tambah Saiful Ezral, penugasan ACTS dijalankan bersama agensi lain di bawah Pasukan Petugas Khas Pelbagai Agensi (MATF) melibatkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bank Negara Malaysia (BNM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Jabatan Laut Malaysia.
“Kejayaan operasi-operasi ini membuktikan bahawa SPRM bukan sahaja komited daripada segi siasatan dan pencegahan, tetapi juga dalam kesiapsiagaan taktikal dan keselamatan operasi.
“Operasi-operasi besar dan kompleks membabitkan sindiket ini juga dapat dilaksanakan dengan jayanya dengan kerjasama antara agensi dengan penubuhan MATF,” katanya. – UTUSAN










