SHAH ALAM: Dua termasuk pengasas program motivasi rumah tangga kontroversi, e-Hati dikenakan waran tangkap selepas gagal hadir prosiding pertuduhan di Mahkamah Majistret pada 14 Oktober lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, justeru polis memburu kedua-duanya pengasas tersebut.
“Saya sahkan, memang ada dua waran tangkap dikeluarkan ke atas dua individu termasuk pengasas eHati. Ini kerana kegagalan untuk hadir pada mahkamah sewaktu pertuduhan hendak dijalankan,” katanya pada sidang akhbar, hari ini.
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan kedua-dua yang dikehendaki tersebut melarikan ke lokasi mana.
“Itu saya tidak kongsikan sebab kita sedang berusaha mencarinya,” jelasnya.
Oktober lalu, Utusan Malaysia melaporkan pasangan suami isteri yang juga doktor kesihatan dan kecantikan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melanggar Akta Kaunselor berkaitan penganjuran program motivasi rumah tangga, eHati tahun lalu.
Tertuduh, Shazifh Osman, 38, dan Munira Hishamshah, 37, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan masing-masing dibacakan di hadapan Majistret Wan Noora Nisa Ngadirin dan Majistret Cynthia Noor Haizean Sulaiman.
Sebelum ini, polis mendedahkan seramai 95 individu telah dipanggil keterangan berhubung penganjuran motivasi rumah tangga di sebuah pusat konvensyen di Seksyen 15 di sini, pada September tahun lalu.
Siasatan polis turut mendapati berlaku adegan bogel dalam acara Queen’s Night dalam penganjuran itu melibatkan empat individu yang merupakan fasilitator bagi program tersebut. – UTUSAN










