Isu tender perolehan UKM: SPRM panggil lima individu bantu siasatan

Isu tender perolehan UKM: SPRM panggil lima individu bantu siasatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memanggil lima individu bagi membantu siasatan kes tiga tender perolehan bernilai RM58.45 juta membabitkan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Kes itu dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) pada Julai lalu.

Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Datuk Zainul Darus berkata, siasatan pada peringkat ini membabitkan penelitian dokumen berkaitan.

“Selain siasatan jenayah rasuah, SPRM turut membuka kertas penyiasatan tatakelola bagi meneliti aspek pengurusan dan kepatuhan tatakelola dalam perolehan tersebut,” katanya di sini, semalam.

Zainul menegaskan komitmen berterusan SPRM dalam memastikan integriti dan pengurusan tatakelola negara dilaksanakan dengan baik, selaras dengan usaha memperkukuh keyakinan masyarakat terhadap sistem perolehan awam.

Isu berkenaan turut mendapat perhatian Canselor UKM, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dalam titah baginda di Majlis Pengisytiharan Pembukaan Konvokesyen Ke-53 UKM di Bangi, semalam.

LKAN Julai lalu mendedahkan, tiga daripada tujuh tender perolehan UKM berjumlah keseluruhan RM58.45 juta didapati tidak mematuhi prosedur perolehan yang ditetapkan.

Katanya, Jawatankuasa Perolehan Tender UKM telah memilih syarikat yang tidak disyorkan oleh Jawatankuasa Penilaian Teknikal, Jawatankuasa Penilaian Kewangan dan Jawatankuasa Pra-Tender.

“Terdapat ketidakteraturan yang serius serta kelemahan dalam proses perolehan tender dan tatakelola pengurusan perolehan di UKM. Keputusan Jawatankuasa Perolehan Tender dibuat oleh semua ahli secara kolektif.

“Ini termasuk Jawatankuasa Pra-Tender yang memperakukan syarikat yang gagal di peringkat Jawatankuasa Penilaian Tender bagi kerja menaik taraf dan penggantian 16 unit lif,” kata laporan itu.

LKAN turut menyatakan bahawa Naib Canselor, selaku Pengerusi Jawatankuasa Perolehan, bertanggungjawab memastikan operasi universiti dan tadbir urus perolehan berjalan dengan teratur, selaras dengan subseksyen 12(3) Perlembagaan UKM serta prinsip ‘duty of care’.

UKM juga didapati tidak melantik wakil Kementerian Kewangan (MoF) sebagai ahli Jawatankuasa Perolehan, manakala wakil Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang dilantik tidak hadir dalam mesyuarat berkaitan tiga tender tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×