SIBU: Seorang wanita kritikal dan anak perempuannya cedera parah selepas ditetak menggunakan parang oleh suaminya.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili berkata, kejadian dilaporkan berlaku di sebuah kawasan perumahan di sini kira-kira pukul 7 pagi semalam, selepas anak wanita terbabit yang berusia 20 tahun menghubungi talian kecemasan memaklumkan dia dan ibunya telah ditetak oleh ayahnya.
“Akibat kejadian itu, isteri suspek kini berada dalam keadaan kritikal dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sibu.
“Anak perempuan mangsa yang turut cedera parah di bahagian kepala dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, suspek berusia 57 tahun melarikan diri sejurus selepas kejadian.
Namun, Zulkipli berkata tindakan pantas pasukan khas IPD Sibu berjaya mengesan dan menangkap suspek di kawasan Kanowit kira-kira pukul 4.15 petang.
“Motif sebenar kejadian masih dalam siasatan lanjut,” katanya.
Zulkipli berkata, suspek kini direman hingga 30 Oktober bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
Katanya, jika disabitkan kesalahan suspek boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda atau sebatan.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak menimbulkan sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan, dan menyeru sesiapa yang mempunyai maklumat untuk menghubungi IPD Sibu di talian 084-336144atau Pegawai Penyiasat, Insp. Ahmad Hakimi Abd Azid di talian 011-31873715. – UTUSAN










