KUCHING: Seorang penagih dadah ditangkap kerana disyaki mendera seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun sehingga mati.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Alexson Naga Chabu berkata lelaki berusia 32 tahun itu dicekup oleh pasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kuching di kawasan Kampung Krian, Jalan Padawan kira-kira pukul 11 pagi semalam.
“Suspek mempunyai enam rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan hasil ujian saringan air kencing turut mendapatinya positif dadah,” katanya dalam kenyataan.
Justeru, beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (bunuh) yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta tidak kurang daripada 12 kali sebatan.
Terdahulu, Alexson berkata pihaknya menerima laporan daripada pengadu iaitu seorang lelaki tempatan berusia 52 tahun kelmarin, menyatakan pada 7 Oktober lalu kira-kira pukul 9.45 malam, dia telah dimaklumkan oleh kawannya bahawa anak perempuannya berusia tiga tahun telah meninggal dunia.
Katanya hasil siasatan awal dipercayai mangsa telah didera sehingga mati.
Justeru, beliau berkata pihaknya mengalu-alukan orang ramai untuk menyalurkan maklumat berhubung kejadian ke balai polis berhampiran dengan menghubungi Pusat Kawalan IPD Kuching di talian 082-24444 atau Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah ASP Chris Olsen Ramlee di talian 013-8607572. – UTUSAN